Thursday, April 23, 2015

PERMATANG PAUH : HJ HADI HORMATI KEPUTUSAN AKARAN PERMATANG PAUH



Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menghormati keputusan akar umbi PAS yang dilaporkan akan memboikot kempen PKR dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh atas alasan parti itu menolak hudud. 

Bagaimana pun katanya, beliau yakin pendirian itu tidak menjejaskan kedudukan PAS dalam Pakatan Rakyat (PR). 

"Kita masih dalam PR. Kita menghormati akar umbi Permatang Pauh. 

"Saya menghormati penyokong PAS di Permatang Pauh," kata Hadi pada satu program Bicara Minda & Sesi Dialog di Shah Alam hari ini yang bertajuk 'Hudud dari Kaca Mata Hadi'. 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan wartawan tentang sikapnya terhadap PAS Permatang Pauh yang mahu memboikot kempen PKR di sana. 

Sebelum ini, PAS Permatang Pauh juga memberi amaran boikot itu akan memberi kesan kerana sebahagian besar pengundi di Permatang Pauh adalah ahli PAS. 

Kenyataan Hadi itu bagaimanapun berbeza dengan Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali pada 20 April lalu. 

Mustafa menjelaskan PAS Pusat muktamad menyokong pencalonan PKR di Permatang Pauh dan sebarang keputusan di peringkat atas mengatasi keputusan yang dibuat di peringkat akar umbi.