Saturday, December 20, 2014

TEROWONG GUAN ENG SIRI 5


SM Mohamed Idris vs Lim Guan Eng
NGO Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) merupakan NGO yang tertua di Pulau Pinang dan sekian lamanya telah merealisasikan prinsip ‘semak dan imbang’ dengan kerajaan negeri sama ada sewaktu pentadbiran Barisan Nasional mahupun ketika ini dibawah pentadbiran Pakatan Rakyat.
CAP dan SAM menentang keras projek ini dengan alasan yang kukuh bahawanya keseluruhan projek pembinaan jalan dan terowong dasar laut ini hanya akan mewujudkan kesesakan lalu lintas yang lebih teruk, risiko kemalangan dalam terowong serta kesan alam sekitar yang tidak boleh dibayangkan. Turut dipersoal adalah tahap keselamatan terowong dasar laut berkenaan serta perjanjian untuk membenarkan pemaju menebus-guna laut seluas 44 hektar sebagai bayaran pembinaan terowong dan jalanraya.
SM Mohamed Idris yang juga Presiden CAP dan SAM ini yang pernah memainkan peranan utama dalam membatalkan projek pembangunan Bukit Bendera pada tahun 1980-an ini menuntut agar Lim Guan Eng sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang mendengar rintihan rakyat dan membatalkan projek berkenaan.
Namun, Lim Guan Eng dalam satu surat terbuka kepada SM Mohamaed Idris yang juga Presiden CAP dan SAM yang bertarikh 21 Mac 2013 dan disiarkan dalam Malaysiakini memilih untuk tidak mempedulikan suara NGO ini dan menyatakan dengan jelas bahawa SM Mohamed Idris dan NGO beliau tidak pernah menghadiri sebarang forum mahupun dialog yang dianjurkan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang untuk mendapatkan maklum balas orang awam mengenai projek berkenaan serta menuduh beliau sebagai memilih kasih apabila membuat kritikan.
Surat balasan SM Mohamad Idris kepada Ketua Menteri Pulau Pinang bertarikh 26 Mac 2013 yang turut disiarkan di Malaysiakini pula telah mempersoalkan kewajaran kerajaan negeri memulakan projek mega ini tanpa menjalankan penilaian implikasi jangka panjang kepada negeri serta alam sekitar dan kerajaan negeri DAP Pulau Pinang juga gagal dalam memberikan bukti yang menyakinkan bahawasanya projek ini akan dapat mengatasi masalah kesesakan lalu lintas. Malah menurutnya lagi, forum dan dialog yang dianjurkan oleh kerajaan negeri ini bukannya bersifat untuk mendapatkan pandangan awam sebaliknya adalah menjelaskan keputusan kerajaan negeri yang mahu untuk meneruskan projek ini.
Persoalan fundamental kini ialah apakah perlunya sebuah projek berskala besar begini dan apakah kajian kebolehlaksanaan dan keuntungan kos telah dijalankan sebelum keputusan untuk menjalankan projek ini dibuat? Hakikatnya, kerajaan negeri menandatangai MOU untuk pembinaan empat jalan utama dengan syarikat daripada China sebelum memulakan kerja perundingan melibatkan Pelan Induk Pengangkutan atau Transport Master Plan. Malah, kerajaan negeri Pulau Pinang jelas gagal dalam menjelaskan atas asas apa keputusan-keputusan ini dibuat.
Tindakan Lim Guan Eng yang tidak mempedulikan suara NGO-NGO sivil ini turut mendapat bantahan daripada ahli partinya sendiri apabila Ahli Dewan Undangan Negeri DAP Pulau Tikus Yap Soo Huey dalam The Malaysian Insider bertarikh 5 Mac 2014 sebagai berkata bahawa sistem pengangkutan awam negeri yang perlu diperbaiki terlebih dahulu sebelum melaksanakan projek pembinaan terowong dasar laut ini serta tiadanya keperluan terowong berkenaan pada masa kini dan mungkin hanya akan diperlukan pada tahun 2030 nanti.