Tuesday, December 16, 2014

TEROWONG GUAN ENG SIRI 1

Sistem pengangkutan awam negeri yang perlu diperbaiki terlebih dahulu sebelum melaksanakan projek pembinaan terowong dasar laut ini, tiadanya keperluan terowong berkenaan pada masa kini
Akhbar New Straits Times bertarikh 15 November 2014 melaporkan bahawa Ketua Menteri Pulau Pinang mengakui tidak dapat membantu rakyat di negeri ini dalam aspek pengangkutan dan penjagaan kesihatan. Sekiranya perbelanjaan mengurus negeri ditambah untuk membantu rakyat Pulau Pinang maka adalah dikhuatiri kerajaan negeri akan muflis. Tetapi lain pula ceritanya dengan projek terowong dasar laut Pulau Pinang ini yang dengan jelas menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang memiliki kemampuan untuk membiayai mega projek ini berbanding mengutamakan rakyatnya sendiri.
Skandal Terbesar Tahun 2014?

Laporan Malaymail Online bertarikh 4 Oktober 2013 menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang meluluskan projek Terowong Dasar Laut (PTDL) dengan kos keseluruhan projek ini yang dianggarkan bernilai RM6.3 bilion dan dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan pembayaran tunai serta pembiayaan melalui pemindahan 110 ekar tanah pinggir laut di Gurney Drive dengan harga RM1,300 kaki persegi atau nilai keseluruhannya sebanyak RM6.3 bilion kepada pemegang konsesi projek ini.
Menurut Malaysian Gazette bertarikh 6 November 2013, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah melantik Consortium Zenith Sdn. Bhd. untuk melaksanakan projek ini dan konsortium ini pula telah menjalin kerjasama strategik antara Zenith Construction Sdn. Bhd. dan China Railway Construction Co. Ltd. (CRCC), bersama Beijing Urban Construction Group, Sri Tinggi Sdn. Bhd. dan Juteras Sdn. Bhd.
Projek yang dijangka mengambil masa 10 tahun untuk disiapkan ini terdiri daripada 4.2 km jalan pintas dari Gurney Drive ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, jalan pintas sepanjang 4.6 km antara Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu dan Bandar Baru Air Itam, laluan berkembar sepanjang 12 km dari jalan Tanjung Bungah ke Teluk Bahang serta laluan sepanjang 6.5 kilometer dari Pulau Pinang ke Butterworth (laluan terowong dasar laut).
Rakyat Pulau Pinang pula akan dibebankan dengan kutipan tol apabila kerajaan Negeri Pulau Pinang membenarkan syarikat Consortium Zenith BUCG Sdn Bhd untuk mengutip tol selama 30 tahun. Laporan Bernama bertarikh 19 Mac 2013 pula melaporkan bahawa syarikat konsortium ini boleh menjana untung sebanyak RM 0.27 bilion menerusi hasil kutipan tol ini.
Pembinaan jalan raya adalah sepanjang 27.3 km tetapi hakikatnya 20.8 km daripada jalan raya berkenaan merupakan jalan pintasan biasa dan laluan berkembar. Jika kita membuat andaian mengenai anggaran kasar pembinaan jalan-jalan biasa ini iaitu kita mengandaikan bahawa kos pembinaan setiap kilometer akan menelan sebanyak RM80 juta maka kos totalnya adalah dianggarkan sebanyak RM1.664 bilion. Manakala bakinya sebanyak RM4.63 bilion pula dianggarkan akan digunakan untuk membina 6.5 km terowong dasar laut tersebut.
Maka, diandaikan bahawa anggaran untuk membina setiap kilometer terowong dasar laut ini adalah sebanyak RM713 juta yang sekaligus menjadikan antara projek yang paling termahal di Malaysia. Malah, projek pembinaan terowong SMART yang melibatkan 9.7 km laluan terowong air ribut dan 4 km laluan jalan raya pun hanya menelan kos sebanyak RM1.88 bilion sahaja.