Friday, April 17, 2015

DAP SOMBONG, PAS YAKIN UNDI P044 BERKURANG



PAS tidak menolak kemungkinan DAP akan memboikot PAS dalam menghadapi dua pilihan raya kecil (PRK) akan datang.

Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS (PPP), Dr Zuhdi Marzuki berkata ia rentetan pengumumam DAP 24 Mac lalu yang memutuskan hubungan dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.


DAP dikatakan kecewa dengan tindakan bersendirian Presiden PAS itu membentang usul rang undang-undang persendirian (RUU) berkenaan pelaksanaan hudud di Kelantan ke Dewan Rakyat.
DAP mahu PAS menangguhkan dahulu pelaksanaan hudud kerana ia bukan sebahagian daripada Dasar Bersama yang dipersetujui oleh pakatan pembangkang itu.

Zuhdi berkata, sekiranya hal itu berlaku, ia akan turut menjejaskan peluang PKR untuk menang di PRK Permatang Pauh.

"DAP dikatakan tidak mahu membantu PAS di PRK Rompin dan tidak mahu bekerjasama dengan PAS di PRK Permatang Pauh, melainkan dengan PKR. 

"Jika benar DAP tidak mahu bekerjasama dengan PAS di Permatang Pauh, maka peluang PKR nak menang di sana menjadi malap. Sebab ramai pengundi PAS di Permatang Pauh, disebabkan DUN Permatang Pasir dimenangi oleh PAS," katanya ketika dihubungi Antarapos, hari ini.

Bukan itu sahaja, Zuhdi turut yakin sikap degil DAP itu juga memburukkan lagi barah di dalam Pakatan Rakyat (PR).

"Jika DAP tidak mahu membantu PAS di Rompin, maka keretakan di dalam PR akan menjadi lebih besar," tegasnya.

Seperti sedia maklum, pimpinan DAP kini memperhebatkan serangan ke atas Hadi Awang tekad melaksanakan hudud di Kelantan.

Selepas mengumumkan memutuskan hubungan dengan Hadi pada akhir bulan lalu, DAP, melalui Penasihatnya Lim Kit Siang baru-baru ini pula mendakwa PAS terus menjalinkan kerjasama dengan Umno bagi membentuk kerajaan perpaduan untuk melaksanakan hudud di Kelantan.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu turut melontar tuduhan bahawa sebarang kerjasama bersama pihak lawan bukan sahaja akan menghancurkan Pakatan Rakyat (PR), malah mengancam Barisan Nasional (BN).