Monday, April 20, 2015

PRK044 : RAMAIKAH PENIPU DALAM PAS?

Datuk Mohd Amar Nik Abdullah hari ini menyelar sesetengah pemimpin PAS yang tidak ikhlas kepada pengundi dengan tidak memberitahu cita-cita sebenar parti itu melaksanakan syariat Islam di negara ini apabila berkuasa di Putrajaya. 

Berucap merasmikan mesyuarat agung PAS Selayang, beliau berkata, PAS perlu ikhlas menyatakan cita-cita perjuangan mereka itu kepada rakyat, bukannya 'menipu' dengan hanya melaksanakan Islam selepas berjaya menawan Putrajaya.


"Kalau kita pergi ke Putrajaya, kemudian baru kita kata nak laksanakan Islam, (maknanya) kita menipu orang. Sembunyi rupa diri kita sebenarnya, untuk menang. Itu menipu orang," kata timbalan menteri besar Kelantan itu.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Nik Amar berkata, PAS perlu jelas dengan Islam yang dibawanya dan tidak boleh berpura-pura dengan pengundi dan rakyat negara ini.
"Kita kena beritahu dengan jelas Islam yang dibawa. Kita tak boleh berpura-pura kerana kita sememangnya nak laksana Islam bila menang," katanya.

Nik Amar sebaliknya memuji DAP, rakan sekutu dalam Pakatan Rakyat (PR), yang konsisten menegaskan negara ini sebuah negara sekular dan menghalang dari syariah Islam dilaksanakan.
"Matlamat DAP ialah sekular, dan (supaya) syariah tidak dilaksana di negara ini. Tahaluf siyasi kita dengan mereka, ialah matlamat jangka pendek sahaja," katanya di hadapan perwakilan dan pemerhati muktamar, termasuk ahli Parlimen Selayang, William Leong, dari PKR.

Nik Amar berkata, PAS perlu mencontohi sikap DAP yang sentiasa konsisten dengan pendiriannya.

"Kita kena puji sikap konsisten DAP ini dari dulu. Kenapa pula PAS tidak boleh bertegas dan konsisten dengan sikap kita?" soalnya.

Beliau memberikan contoh kenapa bekas mursyidul am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang meninggal dunia pada Februari, mendapat sokongan pelbagai kaum.

Ini kerana, katanya, Nik Aziz seorang yang sentiasa konsisten dari dulu sehingga beliau meninggal dunia.

Dalam mesyuarat agung kali ini, Nik Amar turut menerima pencalonan sebagai naib presiden dari PAS kawasan Selayang.

Selain beliau, PAS Selayang mencalonkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai timbalan presiden sementara Idris Ahmad dan Datuk Iskandar Samad sebagai naib presiden selain Nik Amar.

Exco kerajaan negeri, Zaidy Abdul Talib kekal sebagai yang dipertua PAS Selayang tanpa sebarang cabaran apabila pencabarnya menarik diri.