Sunday, April 26, 2015

PRK044 : ISU HUDUD SELESAI KATA STOPA ALI


PAS dan PKR menyifatkan isu antara kedua-dua parti itu selesai apabila PAS bersetuju untuk turut bersama dalam kempen pilihan raya kecil (PRK) Permatang Pauh 7 Mei ini, kata Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali. 

Beliau berkata pemimpin pusat dan kawasan kedua-dua parti itu bermesyuarat malam tadi bagi menjelaskan isu berhubung sokongan PAS terhadap calon PKR pada pilihan raya kecil Permatang Pauh.


"Isu itu selesai dan ia hanya salah faham. PAS kawasan Permatang Pauh akan bersama-sama dalam kempen pilihan raya kecil ini, malah PAS kawasan itu akan melancarkan jentera pilihan raya malam ini," katanya ketika ditemui hari ini.

Isu sokongan PAS terhadap calon PKR pada pilihan raya kecil itu timbul apabila PAS Kawasan Permatang Pauh meluluskan usul menuntut PKR menarik balik kenyataan tidak menyokong rang undang-undang persendirian berkaitan hudud.


Ia juga mahukan PKR memohon maaf secara terbuka untuk mendapat sokongan PAS kawasan itu pada PRK berkenaan. 

Timbalan Presiden PKR Azmin Ali pula ketika diajukan soalan berhubung perkara itu, berkata antara pemimpin PAS yang hadir pada mesyuarat malam tadi ialah Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, Mustafa, Anggota Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir Datuk Salleh Man, dan Ketua PAS Kawasan Permatang Pauh Omar Hassan.


"Mereka ingin mendapatkan penjelasan PKR dan kami juga mahu beberapa penjelasan daripada PAS Permatang Pauh.

"Alhamdulillah, mesyuarat berjalan lancar dan kami mencapai persetujuan fokus kami sekarang bagi memastikan (Presiden PKR Datuk Seri) Dr Wan Azizah (Wan Ismail) menang besar dalam PRK Permatang Pauh," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata isu hukum hudud tidak dibincang secara khusus dalam mesyuarat itu tetapi PAS menjelaskan usul PAS Kawasan Permatang Pauh yang diluluskan oleh mesyuarat agung PAS kawasan itu adalah pandangan akar umbi yang dihormati.

"Tetapi sebagai pemimpin kita memberikan kepimpinan kepada anggota dan melihat kerangka besar Pakatan Rakyat. Kerangka dasar bersama Pakatan perlu ditangani," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata mesyuarat malam tadi adalah antara PAS dan PKR sahaja.

Ditanya pendirian DAP berhubung hudud, Lim berkata: "Saya tidak perlu ulang berulang kali, anda tahu apa pendirian kami... kami tidak akan pernah mengubah pendirian kami (berhubung hudud).

"Pendirian kami jelas. Kami memutuskan hubungan dengan (Datuk Seri) Hadi (Awang) kerana itu." - Bernama