Tuesday, April 21, 2015

PRK044 : BOLEHKAN UMNO PAS BERSATU



PAS seharusnya perlu bersetuju membentuk kerajaan campuran bersama parti UMNO bagi memastikan perjuangan mereka sebelum ini untuk membetulkan UMNO dapat dicapai, kata Mufti Perlis, Datuk Dr Asri Zainul Abidin. 

Katanya, sejak akhir-akhir ini ramai ulama PAS mencadangkan supaya parti itu berkerjasama dengan UMNO dan cadangan tersebut perlu dilakukan dengan segera demi kebaikan rakyat kerana perkara tersebut ditutut agama. 

“PAS telah berjuang di luar sekian lama untuk membaiki politik UMNO, mengapa tidak PAS mencubanya pula dalam satu kerajaan. Ia satu projek islah siyasah parti lawan dan juga segala kelemahan diri sendiri,” katanya menerusi posting terbaru Facebooknya hari ini. 

Tambah Asri, persaingan sihat antara kerajaan dan pembangkang akan hancur sekiranya masalah PAS yang berlaku tidak diselesaikan dan perkara tersebut akan menyebabkan berlakunya pertandingan tiga penjuru dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang. 

“Pertandingan tiga penjuru dalam pilihan raya akan datang akan melemahkan persaingan sihat dan menjadikan suatu pihak akan begitu dominan. 

“Ruang untuk persaingan siyasah dengan idea-idea baru akan muncul lebih subur dengan pergabungan antara PAS dan UMNO. Di pihak kerajaan akan terasa saingan dalaman yang baru. Di pihak pembangkang akan membuka ruang kepada platform baru politik menggantikan tempat PAS,” katanya. 

Sekiranya, kedua-dua parti ini bergabung, rakyat dengan sendiri dapat menilai sejauh mana kejujuran dua politik Melayu Islam itu dalam mentadbir sesebuah negara. 

Sebelum ini wakil PAS Terengganu Roslan Ismail yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Besi berkata, kerjasama PAS dan BN bagi membentuk kerajaan persekutuan seterusnya melaksanakan hukum hudud secara sistematik.