Saturday, April 18, 2015

Keputusan rasmi mesyuarat CEC DAP 23 Mac



Mesyuarat tergempar DAP yang berlangsung hampir empat jam malam ini, membincangkan masa depan parti itu di dalam Pakatan Rakyat (PR), akan mengecewakan Barisan Nasional (BN) kerana hasilnya "positif", kata Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Anthony Loke. 

Parti itu dijangka mengeluarkan kenyataan rasmi esok pagi berhubung hasil mesyuarat mereka malam ini, diadakan susulan keputusan PAS bertegas meneruskan agenda hudud mereka dengan membawa rang undang-undang persendirian di Parlimen. 

"Bagi saya, ia positif untuk rakyat dan mengecewakan untuk BN. Itu saja saya boleh katakan," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas mesyuarat itu. 

Loke berkata, semua ahli jawatankuasa eksekutif pusat parti itu menghadiri mesyuarat malam ini dan bersetuju sebulat suara dengan keputusan yang dibuat. 

Ketua Publisiti DAP Tony Pua memberitahu pemberita, "semua pilihan dipertimbangkan" semasa perbincangan di dalam mesyuarat itu. 

"Saya rasa mereka sangat terbuka. Saya rasa semua orang tahu isu yang terbabit. 

"Adakah kita berpecah, adakah kita teruskan, adakah kita tunggu, apa isunya, bagaimana ia menjejaskan DAP, bagaimana ia menjejaskan PR, apa yang rakyat mahu – ada orang mahu kita berpecah serta merta, ada yang mahu kita terus bersama walau apa pun terjadi. 

"Jadi, semua isu ini dibincangkan sebelum keputusan dibuat," kata Pua. 

Jawatankuasa eksekutif pusat DAP bermesyuarat malam ini bagi membincangkan sama ada untuk kekal dalam PR atau tidak berikutan tindakan PAS itu yang dianggap satu "pengkhianatan" terhadap PR kerana membelakangi keputusan yang dipersetujui bersama sebelumnya.