Wednesday, January 28, 2015

POLEMIK TRANSGENDER DI MALAYSIA



Empat jurumekap pengantin - Muhammad Juzaili Mohamad Khamis, Syukor Jani, Wan Fairol Wan Ismail dan Adam Shazrul Mohd Yusoff - mengemukakan semakan kehakiman bagi mencabar kesahihan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992.

Enakmen itu menghukum golongan lelaki Islam yang berpakaian atau berlagak seperti wanita.

Mereka memfailkan semakan kehakiman dengan menamakan Kerajaan Negeri Sembilan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, pengarahnya, ketua pegawai Penguatkuasa Syariah Negeri Sembilan dan ketua pendakwa Syarie Negeri Sembilan sebagai responden.

Bagaimanapun, Adam Shazrul tidak meneruskan rayuan itu.

Perayu yang dikatakan transeksual lelaki berpakaian wanita atau 'Mak Nyah' mendakwa mereka telah disahkan oleh pakar psikiatri Hospital Kuala Lumpur sebagai mengalami Kecelaruan Identiti Jantina (GID).

Mereka mendakwa mereka ditangkap dan diganggu oleh pihak berkuasa dan juga didakwa di bawah Seksyen 66 Enakmen berkenaan, yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Berikut ialah kronologi bagi semakan kehakiman: '

2 Feb 2011 -- Perayu memfailkan permohonan bagi semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Seremban.

4 Nov 2011 -- Perayu mendapat kebenaran daripada Mahkamah Tinggi untuk memulakan prosiding semakan kehakiman terhadap responden.

11 Okt 2012 -- Mahkamah Tinggi menolak permohonan mereka bagi semakan kehakiman. Hakim Siti Mariah Ahmad memutuskan bahawa hak perayu di bawah Perlembagaan Persekutuan hendaklah diabaikan kerana pada hakikatnya, mereka dilahirkan sebagai lelaki dan beragama Islam.

Beliau juga memutuskan bahawa pemohon sebagai beragama Islam tertakluk di bawah Seksyen 66 Enakmen berkenaan.

22 Mei 2014 -- Mahkamah Rayuan mendengar rayuan dan menangguhkan prosiding sehingga 17 Julai 2014. Selepas mendengar hujah daripada semua pihak, mahkamah menetapkan 7 Nov 2014 untuk menyampaikan keputusan.

7 Nov 2014 -- Mahkamah Rayuan dengan sebulat suara membenarkan rayuan perayu untuk mengisytiharkan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992, sebagai tidak sah dan melanggar perlembagaan.

Hakim Datuk Hishamudin Mohd Yunus yang mengetuai panel tiga hakim memutuskan seksyen itu menimbulkan diskriminasi terhadap golongan lelaki Islam yang menghidap GID dan tidak memberi pengecualian bagi penghidap GID.

5 Dis 2014 -- Responden memfailkan permohonan untuk kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan. Mereka mengemukakan tujuh persoalan undang-undang.

6 Jan 2015 -- Pengurusan kes mengenai permohonan responden didengar di hadapan timbalan pendaftar Mahkamah Persekutuan Khainur Aleeza Ismail dalam kamar. Beliau menetapkan 27 Jan untuk mendengar permohonan responden bagi kebenaran untuk merayu.

27 Jan 2015 -- Mahkamah Persekutuan akan mendengar kes responden.