Thursday, December 4, 2014

BEKAS KAKITANGAN KONTRAK PKNS MAHU SEMULA JAWATAN

 




Kakitangan kontrak PKNS Holdings Sdn Bhd (PHSB) gesa Menteri Besar Selangor Mohammed Azmin Ali membela nasib mereka selepas dipecat tanpa alasan munasabah daripada anak syarikat kerajaan negeri itu Februari lalu.
 
 Wakil mereka Dr Alif Aiman berkata, semua 23 kakitangan PHSB menuntut jawatan mereka dikembalikan selepas masih belum ada jawapan daripada kerajaan negeri Selangor berhubung status jawatan mereka. 

“Kami harap beliau meneliti masalah ini selain mengemukakan satu penyelesaian yang adil kepada kami. 

 
“Setakat ini kerajaan negeri masih belum memberikan apa-apa jawapan atau penyelesaian terhadap masalah itu meskipun 3 surat rasmi sudah dikemukakan kepada Azmin pada November,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia hari ini.

Azmin pada Oktober meminta tempoh 3 bulan untuk meneliti hasil siasatan pemecatan 23 bekas pekerja PHSB semasa era pentadbiran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Khalid sebelum ini berjanji mendedahkan hasil siasatan terhadap bekas pekerja itu dalam masa 3 bulan, namun gagal berbuat demikian. 

Alif berkata Azmin sebelum menjadi menteri besar mengecam tindakan pemecatan mereka dan menyifatkan langkah itu sebagai tidak bertanggungjawab.

"Sekarang, beliau adalah menteri besar Selangor. Sehubungan itu, kita mahu beliau memberikan komitmen penuh dalam menyelesaikan masalah kami ini," katanya yang juga merupakan bekas ketua bahagian pemasaran PHSB kepada akhbar itu.