Wednesday, August 13, 2014

17 OGOS PENENTU BUAT PAS KATA MAT SABU



Mohamad Sabu mengatakan Selangor kini diperintah oleh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, P‎AS dan Barisan Nasional (BN) sehingga parti Islam itu bermesyuarat pada 17 Ogos ini. 

Timbalan presiden PAS itu mengatakan, situasi ini berlaku kerana rakan komponen Pakatan Rakyat (PR) seperti PKR dan DAP sudah menyatakan pendirian mereka untuk menolak kepimpinan Khalid sebagai menteri besar Selangor.

"Sekurang-kurangnya selama seminggu Selangor akan diperintah Khalid (Ahli Dewan Undangan Negeri Bebas), PAS dan BN sehinggalah PAS membuat keputusan pada 17 Ogos ini," kata Mohamad yang dikenali sebagai Mat Sabu kepada The Malaysian Insider.

"PKR dan DAP sudah membuat pendirian jelas menolak Khalid, PAS sahaja yang belum," kata Mohamad dengan nada sedih.

Hari ini Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali mengatakan partinya akan tetap menunggu sehingga 17 Ogos untuk bermesyuarat walaupun timbul desakan daripada rakan komponen PR agar mesyuarat itu dipercepatkan.

"Kena tunggu mesyuarat 17 Ogos baru kita boleh buat pendirian," kata Mustafa kepada The Malaysian Insider.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng sebelum itu menggesa PAS segera menyatakan pendirian sama ada mereka menyokong atau menolak Khalid yang sudah menerima sokongan BN di Selangor.

Jika PAS berkata mereka tidak bersama Umno, ini akan membantu menjelaskan PAS menyokong menggantikan Khalid sebagai menteri besar Selangor, tetapi berhasrat menunggu hingga 17 Ogos bagi memutuskan sama ada menyokong calon pengganti pilihan PKR," katanya.

"Jika PAS gagal menjelaskan hal ini, ia hanya akan menghakis sokongan popular untuk Pakatan Rakyat dan merosakkan keyakinan pengundi bukan sahaja di Selangor, tetapi seluruh negara," kata Lim.