Friday, March 14, 2014

BEIJING TERSILAP?


Kerajaan China mengakui siaran imej satelit negara itu yang kononnya menunjukkan tiga objek didakwa serpihan MH370 adalah satu kesilapan. 

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata ia dimaklumkan sendiri oleh Duta China ke Malaysia, Huang Hui Kang menerusi surat yang dikirimkan semalam. 


“Katanya (Hui Kang) itu adalah tindakan peribadi individu tertentu, yang memuat naik gambar imej satelit berkenaan dalam laman web. Beliau juga menegaskan kerajaannya tidak memberi kebenaran atau memperakui perbuatan itu yang kini sedang disiasat. 

“Tambahnya lagi, imej yang dipaparkan itu belum lagi disahkan sama ada mempunyai kaitan dengan pesawat MH370 yang hilang,” katanya. 

Yang hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Yahya dan Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya. 

Hishammuddin berkata, Hui Kang juga memberi jaminan akan memaklumkan terlebih dulu sebarang perkembangan baru berkaitan kehilangan pesawat MH370, untuk diperakui Kerajaan Malaysia. 

Katanya, penyiaran imej satelit itu menyebabkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) terpaksa menghantar pasukan pemantau ke kawasan berkenaan pagi semalam bagi mengesahkan penemuan itu tetapi tidak menemui serpihan terbabit. 

Hishammuddin berkata, dalam krisis membabitkan operasi yang rumit, bukan mudah bagi menumpukan sepenuh perhatian terhadap usaha mencari dan menyelamat (SAR). 

“Kita tidak boleh melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan SAR. Ada masanya kita tidak boleh mendedahkan maklumat, umpamanya isyarat radar tertentu, kerana ia memerlukan analisis dan pengesahan pelbagai agensi sebelum didedahkan. 

“Kalau kita dedahkan maklumat seperti ini sebelum disahkan, ia bukan saja menjejaskan siasatan, malah menambah kesengsaraan keluarga penumpang yang masih menaruh harapan,” katanya.

BK : BERDOA BERTERUSAN. KITA BUKAN PAKAR.TETAPI KITA MAYBE PERAMAL SAHAJA. TUNGGU JAWAPAN PIHAK BERKUASA