Monday, January 20, 2014

TONY PUA MENCABAR MENTERI UMNO?


SHAH ALAM – Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua hari ini mencabar Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor supaya menamakan mana-mana ahli perniagaan atau orang tengah pro pembangkang yang didakwa menaikkan harga barangan dan perkhidmatan di negara ini. 

Tegasnya jika beliau gagal berbuat demikian, menteri tersebut perlu menarik balik kenyataannya dan berhenti mengalihkan isu sebenar dari kenaikan harga tersebut selepas kerajaan menarik balik subsidi bahan api dan gula tahun lalu. 

“Beliau mesti menuntut supaya Kabinet mesti menamatkan semua monopoli dan orang tengah termasuk pemberian kontrak kepada syarikat kroni BN yang menyebabkan harga meningkat dan rakyat pula menderita,” katanya dalam kenyataan medianya, hari ini. 

Tony juga menyelar dakwaan mengatakan orang tengah pro pembangkang sengaja menaikkan harga barangan dan perkhidmatan untuk mencetuskan kebencian rakyat terhadap kerajaan Barisan Nasional. 

Sambil menyifatkannya sebagai tidak masuk akal, beliau menegaskan jika benarlah Pakatan Rakyat mengawal ekonomi negara melalui orang tengah, BN boleh kehilangan pentadbiran Putrajaya pada pilihan raya umum lepas. 

“Jika Pakatan Rakyat didakwa mengawal ekonomi negara melalui "orang tengah", Barisan Nasional akan kehilangan Putrajaya dalam pilihan raya umum lepas. 

“Mengapa menunggu selepas pilihan raya mengatakan "orang tengah pro pembangkang" menaikkan harga?” katanya. 

Mengulas lanjut pendedahan menteri terbabit semalam, beliau menegaskan dakwaan itu sebenarnya membuka pekung dan kelemahan kerajaan BN sendiri. 

Ini kerana dasar kerajaan sejak tiga dekad lalu masih menggalakkan taikun menguasai, memonopoli dan mengawal barangan dan perkhidmatan asas. 

“Harga beras telah meningkat kerana Bernas Bhd, sebuah syarikat swasta yang dimiliki oleh Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary telah diberi hak monopoli untuk mengimport beras bagi pihak beras peniaga, membuat keuntungan atas angin menyebabkan harga beras meningkat. Begitu juga barangan asas yang lain seperti gula. 

“Tenaga Nasional Bhd pula dipaksa oleh kerajaan BN untuk membeli majoriti elektrik daripada Pengeluar Tenaga Bebas pada harga yang jauh lebih tinggi daripada apa yang ia boleh menghasilkan dengan sendiri, menyebabkan tarif meningkat,” katanya. 

Dakwanya lagi, ekonomi negara diburukkan lagi apabila sistem ‘Ali Baba’ yang terus ‘dihalalkan’ dalam pemberian kontrak saban tahun tidak memperdulikan kualiti kerja yang dihasilkan meski pun umum mengetahui kerajaan terpaksa menanggung kos yang lebih tinggi. 

“Orang tengah kroni dianugerahkan kontrak melambung tinggi namun yang melaksanakan projek tersebut akan diberikan kepada subkontrak, ini jelas menunjukkan mereka tidak mempunyai keupayaan sebenar dalam perniagaan. 

“Semua ini adalah syarikat kroni BN dan orang tengah yang telah menyebabkan harga tinggi dan semakin meningkat dalam negara ini,” katanya lagi. 

BK : MENTERI UMNO  PERLU AGRESIF BERHUJAH. JANGAN MALUKAN UMNO!!!