Tuesday, January 28, 2014

AZMI HAMID TERAS VZ PROF DIRAJA UNGKU AZIZ.SIAPA KITA NAK PERCAYA ?





"Teras Pengupayaan Melayu (Teras) berpandangan kenyataan Profesor Diraja Ungku Aziz bahawa orang Melayu tidak mungkin bersatu seperti orang Arab yang "payah bersatu" berbanding orang Jepun yang "bersatu dalam satu negara, bangsa dan sejarah yang sama" adalah kurang tepat.

Pandangan beliau yang disiar dalam sebuah akhbar harian nampaknya terbatas pada kerangka penyatuan yang sempit iaitu penyatuan atas dasar bangsa semata-mata.

Sebaliknya bangsa Melayu pada asalnya adalah bangsa yang hidup berbudaya bergotong-royong dan bersepakat dalam pelbagai urusan dalam masyarakat.

Hanya disebabkan pencaturan penjajah dan faham nasilionalisme sempit serta pengaruh aliran faham sekularisme, bangsa Melayu dipecahbelahkan melalui strategi "pecah dan perintah" menyebabkan mereka kini berhadapan dengan realiti yang rumit untuk disatukan.

Bukan satu angan-angan untuk menyatukan bangsa Melayu asalkan wujud kesepakatan antara pemimpin dan peranan media yang berhenti daripada melaga-lagakan sesama kelompok orang Melayu.

Kerencaman dan sikap orang Melayu bukan alasan bangsa ini tidak boleh bersatu. Secara naluri setiap bangsa punya rasa kasih kepada bangsa sendiri.

Oleh itu, apa yang perlu dilakukan ialah menunjukkan contoh teladan di kalangan pemimpin yang seharusnya mengamalkan sikap terbuka dan bertolak-ansur dalam perbedaan pendapat dan mengelakkan budaya fitnah.

Kami juga berpendirian sememangnya penjajah telah memberi kesan kepada sikap dan nilai orang Melayu, akan tetapi pemimpin Melayu jualah yang telah melanjutkan agenda penjajah sehingga pendidikan yang sepatutnya membentuk nilai hidup Islam yang kukuh gagal dilaksanakan oleh pemimpin Melayu yang berkuasa.

Rumpun Melayu yang terdiri daripada banyak keturunan tidak menjadi penghalang untuk bersatu kerana semua perbezaan yang ujudnya akhirnya telah disatukan oleh kedatangan Islam.

Oleh itu dalam isu kesatuan bangsa Melayu , Islam menjadi tunjang Melayu untuk bersatu dikalangan pelbagai keturunan yang wujud.

Justeru, kami melihat bila wujud pemimpin Melayu yang mengenepikan agenda mengukuhkan penghayatan Islam dikalangan masyarakat dan menghalang perlaksanaan Islam sebagai dasar urustadbir dan organisasi sivil masyarakat Melayu, telah menyebabkan Melayu tidak boleh bersatu.

Soal sikap dengki seperti yang diungkap oleh bekas naib canselor Universiti Malaya itu dan bahawa wujudnya orang Melayu suka "tikam belakang dan dengki", bagi kami bukan suatu ciri umum orang Melayu. Apa yang menjadi ciri teras orang Melayu ialah mereka boleh bersatu bila menyentuh soal yang paling sensitif bagi mereka iaitu Islam.

Oleh itu, Islam hendaklah menjadi titik bermula penyatuan orang Melayu dan yang lain akan teratur dengan sendiri bila kepentingan Islam diletak tertinggi di atas segala yang lain.

Dalam masa yang sama segala faktor penghalang kepada penyatuan Melayu perlu diatasi. Perbuatan seperti pemangsaan politik atas sebab perbedaan parti; pendekatan kepartian ketika penganugerahan projek; pengambilan tanah milik Melayu; penyalahgunaan kuasa dan kemudahan agensi awam; diskriminasi dan manipulasi dalam media; peminggiran ulama dan ilmuan Melayu yang kritikal; kebebasan bersuara secara beradap; rasuah dan kronisme perlu dikikis habis-habisan .