Sunday, August 28, 2011

AL FATIHAH BUAT KIYAI SALLEH PANGLIMA SELEMPANG MERAH

Biodata Haji Mohd Salleh bin Abdul Karim
Juga dikenali sebagai Salleh Hitam, Salleh K.e.l.i.n.g, Panglima Hitam, Panglima Salleh, Kiyai Salleh, Cikgu Salleh dan Pawang Salleh. Lahir di Tanjung Olak Batu, Bukit Pasir, Muar. Ketika berumur 13 tahun (setelah tamat sekolah Melayu Jorak) merantau untuk mencari ilmu. Berketurunan Banjar

Begitu berminat dengan ilmu serta mendalami ilmu antaranya dengan Tuan Guru Haji Hussein (belajar agama, Al-Quran), Haji Alias, Haji Adam, Haji Ahmad. Ada juga yang mengatakan beliau pernah berguru dengan Syeikh Fadhil Al-Banten (yang membawa amalan Wirid Khawajakan)

Telah menetap bersama keluarga di Kayu Ara Pasong, Pontian. Mempunyai seorang isteri Esah bte Haji Abdul Rashid.beliau kemudiannya merantau ke Batu Pahat serta berniaga di sana. Beliau juga dikatakan telah menyertai komunis serta mengetahui banyak rahsia sulit komunis dan menyalurkannya kepada pihak berkuasa. Pernah pada suatu ketika komunis memburunya kerana dikatakan tidak menyerahkan duit kutipan cukai. Sebenarnya beliau tidak pun mengutip cukai berkenaan dan terus pulang ke kampung halamannya. Komunis telah mengepung rumah beliau dan setelah serbuan mereka gagal menemui beliau walau pada ketika itu Kiyai Salleh sememangnya berada di dalam rumah tersebut.

Beliau dikatakan mempunyai kemampuan melembutkan besi serta mempunyai sebilah pedang yang berasal dari keturunan Raja-raja Riau. Beliau kemudiannya diminta mengetuai Persatuan Mahmuddiah bagi memulihkan kembali semangat orang-orang Melayu yang menderita akibat ancaman komunis. Beliau telah melancarkan serangan ke atas dua kawasan komunis di Bukit Simpor dan Batu Putih, Pancor pada 19 April 1945 dengan hanya berbekalkan senjata tradisional Melayu.

Kiyai Salleh kemudiannya mengetuai serangan ke atas kawasan-kawasan komunis antaranya di Air Hitam, Bukit Alam, Bukit Belah, Bakri, Bukit Berdiri, Separap, Bagan dan Batu 6, Air Hitam, Paril Jamil, Bukit Mor, dan Parit Jawa. Mereka telah membunuh semua komunis yang ditemui sehingga menjadikan mereka cukup digeruni komunis.

Amukan Kiyai Salleh di Muar akhirnya dihentikan oleh Dato' Onn Jaafar yang bertindak sebagai pendamai. Ada juga pendapat yang mengatakan Kiyai Salleh menghentikan serangan ke atas Muar setelah ditegah oleh guru beliau, Sheikh Fadhil Al-Bentan. Beliau juga pernah cedera di bahu akibat tembakan komunis ketika serangan di Semerah pada 1 Julai 1945. Terdapat juga pengikut-pengikut beliau yang syahid semasa serangan namun bilangan anggota komunis yang terbunuh dikatakan amat tinggi sehingga 10 lori diperlukan bagi membawa keluar mayat mereka.

Serangan kemudiannya diteruskan di Senggarang serta berjaya menawan 7 orang komunis berbangsa Melayu. Semasa mereka cuba mendapatkan maklumat, mereka kemudiannya diserang kembali oleh komunis menyebabkan kesemua 7 tawanan tersebut berjaya melarikan diri namun kesemua mereka ditemui kemudiannya mati lemas di sebatang sungai.

Selepas Jepun menyerah kalah, komunis bermaharajalela di Batu Pahat. Mereka amat percaya komunis di China akan datang membantu perjuangan mereka di Tanah Melayu. Mereka mengganas serta membunuh semua orang yang disyakimenjadi tali barut Jepun.

Kiyai Salleh kemudiannya menyusun strategi menyerang komunis di Batu Pahat dengan melancarkan serangan dari pelbagai arah. Kiyai Saidi, Kiyai Taha, Kiyai Hanan dan Kiyai Miskam mengetuai serangan dari arah utara Batu Pahat (Muar, Parit Jawa dan Air Hitam)

Dari Selatan (Senggarang dan Pontian) diketuai oleh Kiyai Salleh Kintol manakala dari Timur (Parit Sulong dan Bandan) melancarkan serangan serentak ke atas Batu Pahat. Mereka membunuh semua komunis semasa dalam perjalanan ke Batu Pahat.

Orang-orang Cina di Batu Pahat amat bimbang tentang keselamatan mereka kemudiannya memberitahu Dato' Onn Jaafar tentang rancangan Kiyai Salleh untuk menyerang mereka. Atas nasihat Dato' Onn, Kiyai Salleh akhirnya membatalkan serangan tersebut.