Thursday, October 16, 2014

PASMA NANAH DI DALAM PAS


Majlis Syura Ulamak PAS dilaporkan telah bersidang semalam.
Selaras dengan tanggungjawabnya sebagai badan tertinggi dalam PAS yang memastikan setiap gerakan dalam PAS menepati hukum dan perlembagaan serta dasar parti, MSU yang bermesyuarat semalam telah memutuskan bahawa:


Selaras dengan peringatan Presiden Pas dalam penggulungan Muktamar PAS 2014 yang lalu supaya tidak berlaku adanya jamaah dalam jamaah, parti dalam parti, maka MSU memberi nasihat kepada ahli-ahli PAS supaya tidak melbatkan diri dalam sebarang aktiviti PASMA
Apakah PASMA?


Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia yang didakwa di pengerusikan oleh bekas EXCO PAS Kedah yang juga ADUN PAS Pengkalan Kundor, Ir Phahrolrazi Mohd Zawawi kononnya mempunyai matlamat untuk menyelamatkan PAS agar PAS terus berada dalam PR.
Dengan keputusan terbaru MSU ini bermakna tidak ada seorang pun ahli PAS dibenarkan menyertai, menyokong apalagi mengetuai NGO ini. Sekiranya berdegil MSU menasihatkan agar PAS Kawasan atau Badan Perhubungan Negeri membuat laporan agar tindakan dapat diambil.


Sebelum ini PASMA kelihatan ghairah menganjurkan forum dan program-program pelancarannya ke seluruh negeri-negeri. Forum-forum ini turut disertai oleh pimpinan kanan PAS termasuklah kalangan YDP Kawasan.
Jika PASMA sudah dikenal-pasti oleh MSU sebagai anasir yang mencetuskan jamaah dalam jamaah, parti dalam pati maka seharusnya ahli-ahli PAS menjauhkan diri darinya. Dan mana-mana yang enggan, yang masih terus mahu bersama merancakkan agenda gelap PASMA ini sewajarnya dilaporkan aktiviti mereka, tak kiralah mereka itu pimpinan kanan PAS atau ahli biasa.


Lebih baik mereka yang yakin dan percaya dengan agenda PASMA ini memilih lantaran keputusan MSU itu samada mahu terus bersama PAS, atau jika sayang sangat pada PASMA, elok terus menyertainya dan putuskan sahaja hubungan dengan PAS.

PASMA SENASIB SEMANGAT 46


Nasib Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) bakal berakhir seperti Semangat 46 apabila penubuhan badan itu tidak berlandaskan kepada wadah perjuangan yang kukuh sama ada atas nama bangsa ataupun agama.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Ismail Sualman berkata, lazimnya badan seperti itu tidak boleh bertahan lama kerana ia wujud apabila timbulnya krisis atau kepimpinan bermasalah dalam sesuatu parti.


"PasMa diwujudkan atas nama ketidakpuasan hati terhadap pemimpin atau sebarang isu,

"Bagi saya ia diwujudkan kerana ura-ura Pas akan keluar dari PR akibat kemelut politik di Selangor pada bulan lepas.

"Kemelut di Selangor nampaknya sudah reda dan ramai berpendapat mereka tidak perlu lagi lari dari Pas kerana Pas masih lagi berada dalam PR," katanya kepada Sinar Harian Online, semalam.

Mengulas lanjut, Ismail bagaimanapun tidak menafikan Pasma masih mempunyai 'pasaran' dan akan menjadi pilihan generasi muda atau golongan liberal namun mengekalkan pendekatan beragama.

"PasMa merupakan satu pertubuhan untuk mereka yang tidak bersetuju dengan pendekatan Pas Pusat.

Wednesday, October 15, 2014

ANNUAR MUSA JEMPUT PAS JOIN UMNO


Ahli Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa hari ini berkata, PAS adalah tulang belakang kepada komponen parti dalam Pakatan Rakyat (PR) meskipun kemelut menteri besar Selangor sebelum ini menyaksikan parti Islam itu bertelagah dengan DAP dan PKR. 

Annuar berkata, lebih baik PAS bersama dengan Barisan Nasional (BN) daripada terus dibuli rakan-rakan dalam PR. 

"PAS marilah duduk bersama BN," katanya ketika perbahasan Belanjawan 2015 di Dewan Rakyat Parlimen, Kuala Lumpur hari ini. 

"PKR dan DAP buli PAS, turut buli bekas Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Mereka lupa kekuatan DAP dan PKR datang daripada PAS," katanya. 

Kenyataan itu kemudiannya disambut Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad yang bangun dan menegaskan PAS tidak akan "termakan umpan" yang dihulurkan Umno untuk menyertai BN. 

"Ucapan Ketereh amat melucukan, macam nak cuba beri umpan. Beliau kata kita orang lama, minta maaf Ketereh, kita tidak termakan umpan," kata Khalid ketika membalas hujah daripada Annuar. 

Annuar kemudiannya memuji PAS kerana mempunyai pendirian yang teguh meskipun diasak kepimpinan DAP dan PKR. 

"PAS tidak akan hancur kerana mereka istiqamah dalam perjuangan mereka, yang hancur parti lain," kata Annuar. 

Khalid kemudian bangun sekali lagi dan menegaskan kebersamaan PAS bersama PR berjaya menjadikan sokongan mereka meningkat sehingga 52% ketika pilihan raya umum 2013. 

"Apa nak bangga sangat dengan 52%, kalau orang buli," kata Annuar. 

"Saya tidak salahkan Shah Alam, beliau tidak tahu," kata pemimpin Umno itu. 

Ahli Parlimen Pasir Mas Nik Abduh Nik Abdul Aziz sebelum ini melalui akaun Facebook miliknya mengakui PAS menjadi mangsa buli DAP dan PKR rentetan isu di Selangor berhubung isu menteri besar dan pemecatan ahli majlis di Pulau Pinang baru-baru ini. 

Anak Mursyidul Am PAS itu berkata, jika dahulu PAS mangsa buli Umno, sekarang mereka dibuli rakan sendiri dalam PR. 

"Hari ini, selain Umno, PKR dan DAP mula hendak buli PAS. 

"Sehinggakan PAS kelihatan seperti terpinga-pinga tidak tahu hendak sentuh yang mana satu. Semua macam tidak menjadi," katanya dalam tulisan akaun Facebook miliknya. 

Pertelagahan PAS dengan rakan komponen PR semakin hangat apabila parti itu tetap menghantar lebih daripada satu nama calon menteri besar, sedangkan DAP dan PKR memutuskan mereka akan tetap menghantar nama Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. 

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mengkehendaki parti pemerintah di Selangor itu menghantar lebih daripada satu nama calon untuk dilantik sebagai menteri besar. 

Baginda kemudiannya memilih melantik Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali sebagai menteri besar Selangor. – 13 Oktober, 2014. 

PAS LEBIH TERUK DARI PKR?



Jika ramai yang beranggapan demikian maka sedari awal lagi pendokong PAS perlu menolak Pasma kerana ideologinya sama dengan Umno dan seangkatannya dengan termasuklah PKR sendiri.


Jika demikian Pas akan rosak dari dalam apabila menyimpan duri di dalam daging yang akhirnya membusukkan parti. Penyakit ini perlu dibendung awal dengan langkah yang lebih keras bukan hanya berbentuk larangan sahaja. Pasma kononnya ingin menjadi orang tengah pula dalam hubungan dengan PR tapi dalam masa yang sama ada agenda tersendiri. 

Oleh kerana itulah laungan UG selalu disenandungkan walhal berkali-kali Mursidul Am dan Presiden menegaskan Pas tidak akan sekali-kali rela bergabung dengan Umno!

HADI : TIADA MASALAH SOAL OKTOBERFEST



Tidak selesa dengan amalan orang bukan Islam tidak bermakna orang Islam boleh melarang mereka mengamalkan budaya mereka, kata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang. 

Menjawab soalan berkaitan kontroversi pesta arak Oktoberfest, Abdul Hadi berkata sekalipun pengambilan arak dibenarkan kepada bukan Islam, tetapi ia tetap dilarang bagi orang Islam. 

"Kita tak ganggu orang bukan Islam dalam perkara yang diizin agama (mereka), selain bercanggah, yang langgar fitrah manusia. Seperti upacara bakar isteri yang kematian suami. 

"Islam tak benarkan korbankan wanita bila suami mati. Ada dalam adat-adat biasa, walau tak selesa, perkara dibenar oleh agama dia, sama-sama dia. Tapi ada kawalan, jaga sensitiviti," katanya dalam satu sesi soal jawab di Gombak semalam. 

Abdul Hadi yang juga naib ketua kesatuan ulama sedunia menjawab soalan berkaitan sejauh manakah sikap toleransi amalan masyarakat bukan Islam yang bercanggah amalan orang Islam seperti Oktoberfest. 

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata dalam pemerintahan Islam memberi hak kebebasan agama, berbudaya dan berbahasa sekaligus tidak boleh menghalang sesuatu perkara yang diizinkan oleh Islam. 

Boleh berfoya-foya? 

Memberi contoh pendekatan kerajaan PAS di Kelantan dan Terengganu bahawa lesen menjual arak diberikan kepada bukan Islam tetapi dengan syarat ia dijual kepada bukan Islam sahaja. 

"Ini contoh dia. (Orang Islam) tak boleh ganggu perkara yang diizin oleh agama dia (bukan Islam). Kita tak tahu berfoya-foya (dalam) agama dia benar ke? Agama dia pun tak benar kot. Ke tak ada agama. 

"Kena ditapis, sejauh mana agama dia benarkan. Atau dia tak ada agama? Atau dia komunis? Komunis tak ada agama. 

"Perkara yang diizin dalam agama dia, maka kawalan mesti dibuat supaya tidak sentuh sensitiviti penganut Islam dan agama lain yang tak setuju perkara yang sama," katanya. 

Ketika zaman kemuncak kegemilangan Islam di pelbagai pelosok dunia, MP Marang itu berkata, orang Islam boleh memerintah dengan aman tanpa berlaku pertembungan agama dan budaya. 

Monday, October 13, 2014

PASMA PECAH BELAHKAN FIKRAH PAS


1. Majlis Syura Ulamak memantau dengan penuh prihatin beberapa tindak tanduk mutakhir ini yang dilihat boleh memecah belah ahli-ahli PAS seperti yang dilakukan oleh sebuah NGO yang dinamakan PASMA. 


2. Selaras dengan peringatan Presiden PAS dalam penggulungan Muktamar PAS 2014 yang lalu supaya tidak berlaku adanya jamaah dalam jamaah, parti dalam parti, maka Majlis Syura Ulamak memberi nasihat kepada ahli-ahli PAS supaya tidak melibatkan diri dalam sebarang aktiviti PASMA
.
3. Kawasan-kawasan dan Badan Perhubungan Negeri juga dinasihatkan membuat laporan bertulis kepada Jawatankuasa PAS Pusat dan Majlis Syura Ulamak sekiranya tindak-tanduk seumpama itu juga berlaku di peringkat masing-masing untuk diambil tindakan lanjut.

4. Majlis Syura Ulamak juga memperingatkan ahli-ahli PAS tentang kewujudan perancangan antarabangsa yang bergerak aktif menerusi pelbagai medium untuk melemahkan gerakan Islam, membuang label politik Islam daripada parti-parti Islam, menjadikan parti Islam hanya memperjuangkan politik tanpa dakwah dan mengenepikan perjuangan menegakkan Syariat Islam yang luas merangkumi ekonomi, sosial, kebajikan dan undang-undang jenayah dengan dikecilkan kepada kebajikan yang sempit.


Dato' Haji Nik Muhammad Zawawi Saleh,
Setiausaha Majlis Syura Ulamak
17 Zulhijjah 1435 / 12 Oktober 2014

APA HAK PKR MASUK CAMPUR HAL PAS????


Keahlian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor termasuk Saari Sungib (Hulu Kelang) dan Hasnul Baharuddin (Morib) digantung selama setahun oleh PAS, namun mereka mempunyai tempoh 15 hari untuk membuat rayuan. 

Keahlian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor termasuk Saari Sungib (Hulu Kelang) dan Hasnul Baharuddin (Morib) digantung selama setahun oleh PAS, namun mereka mempunyai tempoh 15 hari untuk membuat rayuan.

Pemuda PKR menyatakan kekesalan mereka terhadap tindakan PAS menggantung keahlian dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor Saari Sungib (Hulu Kelang) dan Hasnul Baharuddin (Morib) selama setahun.

Naib Ketua Pemudanya Fahmi Fadzil (gambar) berkata, walaupun PAS berhak melakukan demikian mengikut perlembagaan parti, beliau mempertahankan tindakan Saari dan Hasnul yang menyokong Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Katanya, tindakan itu adalah satu langkah demokratik dalam usaha merungkaikan masalah krisis menteri besar Selangor.

"Ia juga satu langkah berani yang mengukuhkan ukhuwah di kalangan parti komponen Pakatan Rakyat (PR) serta mengangkat semangat tahaluf siyasi dalam kerangka kerjasama PR," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Saari dan Hasnul pada 15 Ogos lalu menyertai 28 Adun PKR dan DAP Selangor menyatakan sokongan mereka terhadap Adun Kajang Dr Wan Azizah sebagai calon menteri besar Selangor dan menyingkirkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Saari dan Hasnul sepanjang tempoh penggantungan itu dilarang terlibat dalam sebarang aktiviti parti, seperti yang diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat di ibu pejabat parti di Kuala Lumpur.

"Pemuda PKR berharap kedua-dua Adun tersebut akan terus istiqamah dalam usaha tajdid dan islah demi politik Malaysia yang lebih baik," kata Fahmi.

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali dalam sidang media terdahulu hari ini berkata, dua Adun terbabit mempunyai tempoh 15 hari untuk membuat rayuan.

"Mereka boleh merayu berdasarkan Fasal 83(4)(5) Perlembagaan PAS pindaan 2011," katanya.

Katanya, rayuan bertulis boleh dibuat kepada Setiausaha Majlis Syura Ulama, badan yang mempunyai kuasa untuk membuat kata putus, melebihi kuasa Jawatankuasa Pusat.

Mesyuarat hari ini dipengerusikan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Turut hadir Timbalan Presiden PAS Mohammad Sabu, Naib Presiden Salahuddin Ayub, Ketua Penerangan Datuk Mahfuz Omar dan AJK PAS Pusat Datuk Takiyuddin Hassan.

Hadi dalam Muktamar Tahunan PAS ke-60 di Batu Pahat, Johor bulan lalu mengecam tindakan kedua-dua Adun itu, malah menggelar mereka sebagai “barua”.