Saturday, August 13, 2011

JABATAN MUFTI PULAU PINANG TEMAN POHON PERTIMBANGKAN...........

Fatwa melulu
Oleh Suzalina Halid
suzalina@bharian.com.my
2011/08/13

Larangan baca al-Quran guna pembesar suara waktu Subuh boleh jadi isu pecah belah umat Islam

KUALA LUMPUR: Majlis Fatwa Kebangsaan meminta Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang menimbangkan sehalus-halusnya larangan bacaan al-Quran menggunakan pembesar suara pada waktu Subuh di masjid dan surau di negeri itu kerana ditakuti mendatangkan kesan kepada penyatuan Umat Islam di negara ini.
 
Pengerusinya Prof Datuk Dr Abd Shukor Husin, berkata larangan itu sebenarnya tidak perlu diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri, sebaliknya ditentukan mengikut budi bicara dan disesuaikan dengan keadaan sesuatu tempat.
 
Beliau berkata, Jawatankuasa Fatwa Negeri seharusnya mengadakan perbincangan dulu bersama mufti di negeri lain melalui Majlis Agama Islam kerana larangan itu dibimbangi akan menjadi asas hukum kepada larangan sama di negeri lain.

Katanya, pertemuan dengan masyarakat setempat perlu diadakan bagi memperoleh kata sepakat sama ada mereka bersetuju jika dilaksanakan larangan itu atau tidak.

"Sepatutnya tak payah keluarkan fatwa dulu, fatwa itu harus berhemah dan berhikmah, kena kaji sama ada tempat itu memerlukan larangan atau tidak, kerana bila sudah difatwakan ia akan menjadi isu yang boleh menjadi punca masyarakat Islam tidak bersatu.

"Contohnya satu kes masjid berdekatan dengan hospital, bila nak masuk waktu solat, imam baca al-Quran sehingga mengganggu pesakit, jadi mereka jumpa dengan mufti dan larangan itu boleh dipertimbangkan mengikut kawasan,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, di sini semalam.
 
Akhbar ini, semalam melaporkan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) mengeluarkan larangan selaras dengan keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri itu kerana amalan berkenaan dikatakan bercanggah dengan hukum syarak dan boleh mengganggu orang lain di dalam dan luar masjid.

Mengenai tindakan Jawatankuasa Fatwa Negeri yang memutuskan larangan itu adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan Abi Sa’id al-Khudri menerusi kitab Sunan Abi Daud, Abd Shukor berkata sabda itu diiktikaf oleh Nabi Muhammad SAW bertujuan untuk tidak mengganggu bacaan al-Quran yang dibaca oleh jemaah lain pada waktu sama di masjid.

"Sama juga ketika membaca khutbah, jika kita berbual di belakang adalah dilarang, tetapi masjid sekarang kosong ketika waktu sebelum subuh jadi kita kena mengimarahkan dengan bacaan al-Quran.

"Dan bacaan al-Quran di satu kawasan yang majoritinya diduduki umat Islam tanpa ada faktor penghalang adalah digalakkan,” katanya.

Katanya, beliau ada menghubungi Jawatankuasa Fatwa Negeri, tetapi sehingga kini masih tidak dapat maklum balas daripada pihak berkenaan berkaitan hal terbabit.
Sementara itu, Presiden Jaringan Melayu Malaysia, Azwanddin Hamzah menggesa supaya Jawatankuasa Fatwa Negeri menarik balik larangan berkenaan sebelum badan itu mengambil tindakan.

“Kita sudah membaca al-Quran sebelum waktu subuh berpuluh-puluh tahun lamanya dan tidak sepatutnya baru sekarang ia ditimbulkan,” katanya.
 
BAGI TEMAN LARANGAN INI TIDAK PERLU SECARA SURAT PEKELILING. HANYA DENGAN JAIPP MENGHANTAR WAKIL BERTEMU DENGAN MASJID YANG BERKAITAN SUPAYA TIDAK MENGGUNAKAN PEMBESAR SUARA KETIKA MEMBACA QURAN. INI PUN SEKIRANYA DALAM KES DHARURAT YANG MELIBATKAN HOSPITAL, KLINIK DAN SEBAGAINYA. TETAPI BAGI KES KAWASAN TAMAN PERUMAHAN, KONDOMINIUM , KAMPUNG DAN SEBAGAINYA, BOLEHLAH DITERUSKAN DENGAN AMALAN MEMBACA QURAN MENGGUNAKAN PEMBESAR SUARA. TIADA SALAH DAN TIDAK HARAM. HENDAK DISAMAKAN BIDAAH APAKAH BIDAAH INI MENYAMAI MEMBACA TALKIN, TAHLIL DI KUBUR  ATAU MEMPERHIASKAN MASJID DENGAN AYAT QURAN? DALAM KONTEKS PULAU PINANG, ADALAH MENJADI HARAPAN AGAR IANYA DIFIKIRKAN SEMULA OLEH DATO SS MUFTI.