Tuesday, November 13, 2012

PASCA E 13 : GURU SEK AGAMA RAKYAT DI SISIHKAN GUAN ENG


SUMBER : PAKATAN PULAU PINANG

Permuafakat bangkit isu bonus guru SAR selepas Bajet PP 2013 lulus
Zainulfaqar | Nov 10, 7:48 AM

Sungguhpun Belanjawan 2013 Pulau Pinang telahpun diluluskan semalam, isu kebajikan guru-guru sekolah agama rakyat (SAR) di negeri yang dikatakan tidak mendapat bonus seperti pihak berwajib yang lain dibangkitkan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Presiden Persatuan Muafakat Kesejahteraan Rakyat Pulau Pinang (Permuafakat), Zulkifly Ishak (kanan) berkata, Belanjawan 'Agenda Ekonomi Saksama' (AES) bagi tahun 2013 hanya menyebut sejumlah bonus akan diberikan kepada kakitangan kerajaan, serta guru-guru dan penyelia KAFA (Kelas Agama dan Fardhu Ain).

"Mungkin ada yang terlepas pandang, maka guru-guru SAR ini tidak menikmati bonus sebagaimana yang terus dinikmati oleh KAFA.

"Jika guru-guru KAFA di bawah seliaan Kerajaan Pusat pun menerima bonus daripada Kerajaan Negeri, takkan SAR yang dikatakan macam 'anak angkat' MAINPP (Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang) tak dapat apa-apa (bonus)," ujar beliau di Bandar Perda, semalam.

Menurut beliau, hal sebegini wajar diambil perhatian supaya pentadbiran Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng terus dilihat komited memartabatkan agama Islam di negeri berkenaan, bukan sebaliknya sebagaimana yang cuba difitnah oleh pembangkang Umno Barisan Nasional.

"Kita tak mahu isu-isu berbangkit ini menjadi 'senjata' pembangkang untuk buruk imej pentadbiran Ketua Menteri kita.

"Kita tak mahu orang Melayu dapat maklumat yang dimanipulasi oleh mereka kononnya Kerajaan Negeri kita tak komited memartabatkan Islam," ujar beliau.

Justeru katanya, Exco Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Kassim dan Datuk Mohd. Salleh Man (Yang Dipertua MAINPP merangkap Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang) selaku pihak berwajib cakna dan mencari jalan demi kebajikan guru-guru SAR berkenaan.

Difahamkan, perbentangan Belanjawan AES Pulau Pinang 2013 pada Jumaat lepas antara lain guru-guru dan penyelia KAFA diberi bonus RM700 untuk tahun ini berbanding tahun lepas demi memartabatkan agama Islam di negeri berkenaan.

Berikut antara inti Belanjawan AES 2013 yang dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada Jumaat, 2 November lepas:
"Selaras dengan hasrat untuk menjadikan masjid sebagai sebuah institusi pelbagai aktiviti kemasyarakatan, peruntukan sebanyak RM13.84 juta telah disediakan untuk tahun 2013 meliputi pembangunan masjid, surau dan sekolah agama rakyat (SAR).

"Seiring dengan pengiktirafan kepada sumbangan perkhidmatan awam, Kerajaan Negeri menjelang  sambutan Hari Raya Aidilfitri yang lepas telahpun memberi bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM600 kepada seramai 3,780 penjawat awam.

"Susulan daripada bonus raya Kerajaan Negeri ingin mengumumkan pembayaran bonus setengah bulan gaji dengan minimum RM700 pada bulan Disember 2012 dan Januari 2013.
"Guru-guru dan Penyelia KAFA akan menerima RM400 kali ini, iaitu RM700 untuk tahun ini berbanding RM600 tahun lalu.

"Sejumlah RM7.466 juta akan dibelanjakan bagi maksud pemberian bonus.

"Pemberian bonus ini turut dipanjangkan kepada kedua-dua PBT (Majlis Perbandaran Pulau Pinang/MPPP dan  Majlis Perbandaran Seberang Perai. MPSP) dan Badan-Badan Berkanun Negeri."
Sejurus selesai sidang DUN semalam, PenangInsight cuba mendapatkan maklum balas daripada Abdul Malik dan Mohd. Salleh, namun gagal.

Bagaimanapun, PenangInsight.com berjaya mendapat reaksi lanjut daripada Guan Eng sendiri.

"Memang kita tak beri kepada guru-guru SAR kecuali RM200 dulu (sumbangan sempena Hari Raya Puasa). Yang kita beri (bonus) hanya kepada guru-guru KAFA," ujar Guan Eng. -END