Monday, April 20, 2015

PRK044: MAT SABU TEMPELAK DAP



Respon

Timbalan Presidennya, Mohamad Sabu berkata, Pas tidak bimbang kerana DAP tidak boleh menang dan memerintah negeri lain selain Pulau Pinang.

“Kita (Pas) berupaya untuk menang sekurang-kurangnya 10 negeri jikalau PR dijaga sebaik mungkin dengan prinsip dan dasar tidak lari dari perjuangan asal.


“Kalau kita menang di Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Melaka yang menjadi menteri besar ialah Pas. Kenapa kita perlu bimbang,” katanya ketika  merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Padang Terap kali ke-40 di Kompleks Pas Kawasan, Kampung Barokas, di sini semalam.

PRK044 : GUAN ENG WAJIB LETAK JAWATAN !!!!!



ALOR SETAR - DAP Kedah mendesak Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng meletak jawatan kerana didakwa gagal menguruskan parti dengan baik dan efisien.

Setiausaha Organisasi, Law Theng Hooi berkata, kegagalan itu menyebabkan Pendaftar Pertubuhan (ROS) menggunakan akta pertubuhan untuk menolak dan tidak menerima keputusan pemilihan parti sebanyak dua kali pada 2012 dan 2013.

Beliau berkata, kekeliruan juga timbul apabila berlaku pertambahan lebih 120 cawangan baharu di seluruh negara pada pemilihan 2013 yang masih dalam siasatan ROS.

"Kekeliruan ini masih belum dijawab oleh Guan Eng," katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Theng Hooi berkata, Ketua Menteri Pulau Pinang itu juga bersikap pilih kasih terhadap pemimpin DAP.

Menurutnya, bekas Adun DAP Pulau Tikus, Koay Teng Hai digantung keahlian kerana tidak hadir pada sidang Dun Pulau Pinang ketika pembentangan usul lompat parti.
Ketidakhadirannya nyaris menggagalkan usul berkenaan.

"Apabila berlaku terhadap Guan Eng sendiri (tidak hadir) di Dewan Rakyat ketika pembentangan Akta Hasutan hukuman setimpal perlu diterima oleh Guan Eng sama seperti Teng Hai.

"Namun itu tidak pula berlaku. Jangan anggap disebabkan dirinya memegang jawatan tinggi dalam parti boleh mengelak dari dikenakan tindakan disiplin," katanya.

Theng Hooi berkata, jawatankuasa disiplin perlu bertindak tegas dengan mengambil tindakan ke atas Guan Eng kerana kecuaian itu. - SH 

PRK044 : PKR TETAP TOLAK HUDUD



PKR tidak bercadang menarik balik kenyataannya terhadap Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung isu Hudud, walaupun PAS Permatang Pauh meletakkan syarat itu untuk bekerjasama pada kempen pilihan raya kecil kerusi Parlimen itu.

Timbalan Presiden PKR Azmin Ali berkata beliau sudah banyak kali mengadakan perjumpaan dengan pemimpin PAS dan mereka komited membantu jentera PKR pada pilihan raya kecil itu.
    
"Tidak timbul soal tarik balik (kenyataan) di sini kerana Yang Dipertua (PAS) kawasan Permatang Pauh, Omar Hassan, hadir sendiri untuk pelancaran jentera PKR," katanya kepada pemberita selepas program minum petang bersama-sama Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Bukit Mertajam, hari ini.
    
Beliau ditanya mengenai sokongan PAS dan laporan bahawa parti itu tidak akan membantu kempen PKR pada pilihan raya kecil di Permatang Pauh jika PKR tidak menarik balik kenyataan terhadap Abdul Hadi berhubung isu Hudud.
    
PAS Permatang Pauh pada sidang berita selepas mesyuarat agung tahunan kawasan itu hari ini, turut memberi kata dua kepada PKR supaya menarik balik kenyataan tidak menyokong rang undang-undang persendirian berkaitan Hudud jika mahu terus mendapatkan sokongan pada pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh.

Omar berkata PAS Permatang Pauh memutuskan untuk memberi tempoh sehingga sebelum hari penamaan calon pada 25 April ini kepada PKR untuk berbuat demikian serta menuntut rakan sekutunya itu memohon maaf secara terbuka.
    
Azmin berkata beliau bersama-sama Wan Azizah akan cuba mendapatkan pengesahan mengenai keputusan PAS Permatang Pauh itu dengan mengadakan perjumpaan bersama-sama pemimpin PAS negeri.
    
Sementara itu, Azmin yang juga menteri besar Selangor sekali lagi menafikan dakwaan lima Anggota Dewan Undangan Negeri PKR akan melompat parti dan bekerjasama dengan bekas menteri besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
    
"Ini hanya propaganda untuk kempen pilihan raya kecil, dan saya yakin bahawa kesemua 43 Anggota Dewan Undangan Negeri PKR Selangor komited untuk mempertahan dasar Pakatan Rakyat," katanya.
    
Pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh diadakan berikutan penyandangnya Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai wakil rakyat selepas Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon Anwar melalui anggota keluarganya.
    
Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.
    
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan pengundian awal pada 3 Mei dan hari pengundian pada 7 Mei.
    
-Bernama 

PRK044 : RAMAIKAH PENIPU DALAM PAS?

Datuk Mohd Amar Nik Abdullah hari ini menyelar sesetengah pemimpin PAS yang tidak ikhlas kepada pengundi dengan tidak memberitahu cita-cita sebenar parti itu melaksanakan syariat Islam di negara ini apabila berkuasa di Putrajaya. 

Berucap merasmikan mesyuarat agung PAS Selayang, beliau berkata, PAS perlu ikhlas menyatakan cita-cita perjuangan mereka itu kepada rakyat, bukannya 'menipu' dengan hanya melaksanakan Islam selepas berjaya menawan Putrajaya.


"Kalau kita pergi ke Putrajaya, kemudian baru kita kata nak laksanakan Islam, (maknanya) kita menipu orang. Sembunyi rupa diri kita sebenarnya, untuk menang. Itu menipu orang," kata timbalan menteri besar Kelantan itu.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Nik Amar berkata, PAS perlu jelas dengan Islam yang dibawanya dan tidak boleh berpura-pura dengan pengundi dan rakyat negara ini.
"Kita kena beritahu dengan jelas Islam yang dibawa. Kita tak boleh berpura-pura kerana kita sememangnya nak laksana Islam bila menang," katanya.

Nik Amar sebaliknya memuji DAP, rakan sekutu dalam Pakatan Rakyat (PR), yang konsisten menegaskan negara ini sebuah negara sekular dan menghalang dari syariah Islam dilaksanakan.
"Matlamat DAP ialah sekular, dan (supaya) syariah tidak dilaksana di negara ini. Tahaluf siyasi kita dengan mereka, ialah matlamat jangka pendek sahaja," katanya di hadapan perwakilan dan pemerhati muktamar, termasuk ahli Parlimen Selayang, William Leong, dari PKR.

Nik Amar berkata, PAS perlu mencontohi sikap DAP yang sentiasa konsisten dengan pendiriannya.

"Kita kena puji sikap konsisten DAP ini dari dulu. Kenapa pula PAS tidak boleh bertegas dan konsisten dengan sikap kita?" soalnya.

Beliau memberikan contoh kenapa bekas mursyidul am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang meninggal dunia pada Februari, mendapat sokongan pelbagai kaum.

Ini kerana, katanya, Nik Aziz seorang yang sentiasa konsisten dari dulu sehingga beliau meninggal dunia.

Dalam mesyuarat agung kali ini, Nik Amar turut menerima pencalonan sebagai naib presiden dari PAS kawasan Selayang.

Selain beliau, PAS Selayang mencalonkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai timbalan presiden sementara Idris Ahmad dan Datuk Iskandar Samad sebagai naib presiden selain Nik Amar.

Exco kerajaan negeri, Zaidy Abdul Talib kekal sebagai yang dipertua PAS Selayang tanpa sebarang cabaran apabila pencabarnya menarik diri.