Friday, March 13, 2015

PAS SELANGOR TEGAS HJ HADI SEBAGAI PRESIDEN



PAS Selangor akan memberikan sokongan penuh kepada Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk kekal sebagai Presiden parti itu pada pemilihan kali ini.

Setiausaha PAS negeri, Mohd Khairuddin Othman berkata PAS Selangor akan menyokong kepimpinan ulama temasuk mana-mana pemimpin profesional atau bukan profesional yang menyokong kepimpinan ulama. 


"PAS memerlukan kepimpinan Abdul Hadi dan kita lihat belum ada pemimpin yang layak mengambil alih jawatan Presiden. 

"PAS Selangor juga akan bersama-sama mempertahankan kepimpinan Abdul Hadi," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis.

Beliau berkata Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad juga telah beberapa kali menyatakan pendirian menyokong kepimpinan ulama dan itu juga merupakan pendirian PAS negeri.

"Kesemua 22 kawasan PAS Selangor akan mula mengadakan mesyuarat agung bermula pada 15 Mac ini dan berakhir pada 26 April.

"Mesyuarat Agung pada kali ini melibatkan pemilihan di peringkat cawangan, kawasan dan pusat," katanya.

Isnin lalu, PAS bahagian Kota Bharu menamakan Naib Presiden PAS , Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai pencabar untuk jawatan presiden, dengan memberikan kesihatan Abdul Hadi sebagai alasan.

Bagaimanapun, Tuan Ibrahim dilaporkan menolak pencalonan itu dengan berkata bahawa ia adalah satu kejutan yang tidak membina keutuhan parti.

Beliau dipetik sebagai berkata, dalam sejarah kepimpinan PAS jawatan Presiden tidak pernah dipertandingkan.

MURSYIDUL PAS MAHU HJ HADI KEKAL PRESIDEN PAS



“Belum masa untuk Pas menukar presiden,” demikian kenyataan pertama Mursyidul Am Pas yang baharu dilantik, Datuk Dr Haron Din. 

Menurutnya, secara peribadi, beliau merasakan ahli Pas perlu taat kepada presiden sedia ada, iaitu Datuk Seri Abdul Hadi Awang. 

“Riak dan maklum balas daripada masyarakat, sejauh yang saya dapat rasakan adalah kebanyakan ahli Pas rasa belum perlu tukar presiden. 

“Pas Kota Bharu sahaja yang suarakan (tentang penukaran itu),” katanya kepada Sinar Harian, semalam. 

Bagaimanapun, katanya, setiap cawangan Pas mempunyai hak masing-masing untuk menamakan calon bagi mengisi jawatan dalam parti. 

“Tetapi harus diingat, kesesuaian nama (calon yang dicadangkan) itu, dengan keadaan yang ada sekarang ini. Adakah sudah sampai masanya untuk ganti presiden? 

“Mungkin ahli itu ada pandangan masing-masing, ada pendirian sendiri. Kita tunggu dan lihat selepas ini sama ada terdapat kawasan lain yang akan suarakan juga mahu ganti presiden,” katanya. 

Mengenai pelantikannya sebagai Mursyidul Am Pas, Haron mengucapkan terima kasih kepada Majlis Syura Ulama Pas yang memilihnya mengisi jawatan itu dan berjanji akan menggalas amanah itu sebaik mungkin. 

“Telah berlangsung mesyuarat (Majlis) Syura Ulama Pas dua hari lalu dan telah berbincang (mengenai) jawatan Mursyidul Am Pas. 

"Saya beri pandangan bahawa elok kita biarkan ia kosong sehingga Muktamar Pas yang terdekat ini (dijadualkan Jun depan). 

“Pada ketika itu, barulah buat keputusan untuk isi semua jawatan termasuk (jawatan) mursyidul am,” katanya. 

Namun, katanya, ahli lain berpandangan kekosongan jawatan Mursyidul Am Pas perlu diisi segera dan tidak seharusnya ditunggu sehingga Muktamar Pas. 

“Saya cuba namakan beberapa orang untuk isi jawatan dan untuk galas amanah yang begitu besar ini. 

“Kesanggupan (terima jawatan mursyidul am) memerlukan kepada kemuliaan yang ketara. Saya (suarakan saya) ada kelemahan yang ketara. 

"...Tetapi semua hujah ditolak dan sebulat suara pilih saya. Atas kehendak itu, saya tidak boleh berbuat apa-apa. Berdiam diri dan dalam kata lain protes senyap sahaja,” katanya.-SH 

SIAPA KATA PAS TERIMA HUDUD. PAS HERO UTAMA TOLAK PERUNDANGAN ISLAM