Wednesday, December 17, 2014

TEROWONG GUAN ENG SIRI 2


Utamakan Rakyat, Bukannya Kapitalis
Adalah dianggarkan bahawa harga tanah di Gurney Drive pada masa kini adalah RM1,650 kaki persegi yang menyaksikan peningkatan 25% dalam masa tidak sampai dua tahun. Sekiranya pembinaan terowong dasar laut ini disiapkan mengikut jadual iaitu pada tahun 2025, dan dianggarkan berlakunya peningkatan kadar 10% harga tanah di Gurney Drive maka 110 ekar tanah yang diberikan kepada syarikat Consortium Zenith BUCG ini akan bernilai kira-kira RM19.77 bilion pada tahun 2025. Ini sememangnya munasabah jika melihat kepada harga hartanah di Pulau Pinang semenjak 12 tahun yang lalu dan pada masa kini.
Sebuah kerajaan negeri yang beretika dan memiliki tanggungjawab moral sepatutnya menggunakan tanah tersebut sebagai cagaran untuk menerbitkan bon yang disokong oleh kerajaan negeri untuk mendapatkan RM6.3 bilion dan pada masa yang sama memberikan projek kepada syarikat pembinaan yang dipilih secara tender terbuka untuk membina terowong dasar laut tersebut. Bagi memastikan setiap rakyat Pulau Pinang menikmati keuntungan hasil daripada projek ini, kerajaan negeri yang perlu mengutip tol atau menjual tanah 110 ekar itu pada tahun 2025 yang pastinya akan bernilai lebih tinggi daripada kos untuk menebus bon tersebut.
Dengan cara begini, kerajaan negeri akan dapat memastikan negerinya menjana keuntungan melalui harga tanah pada tahun 2025 dan harga bon serta pada masa yang sama menjana keuntungan daripada hasil kutipan tol. Keuntungan ini akan dapat disalurkan untuk menjaga kepentingan rakyat Pulau Pinang termasuk dalam soal pengangkutan awam serta penjagaan kesihatan dan bukannya memberikan terus hak kutipan tol tersebut kepada syarikat swasta.