Monday, July 13, 2015

PAS HIPOKRIT -MAHFUZ OMAR



Datuk Mahfuz Omar menyifatkan PAS akan dilihat hipokrit jika masih kekal dalam kerajaan negeri Selangor dan Pulau Pinang pada ketika parti itu sudah memutuskan hubungan dengan DAP, sekutu mereka sebelum ini dalam Pakatan Rakyat (PR). 

Bekas ketua penerangan PAS itu mengulas mengenai keputusan Majlis Syura Ulama (MSU) PAS yang memuktamadkan untuk memutuskan kerjasamanya dengan DAP pada satu mesyuarat kelmarin.


"Apabila PAS sudah mengambil keputusan memutuskan hubungan dengan DAP, maka PAS seharusnya tidak bekerjasama dengan DAP dalam kerajaan Pulau Pinang dan Selangor.

"Jika tidak, rakyat akan melihat PAS sebagai hipokrit kerana masih terus dilihat mempunyai hubungan dalam pemerintahan Selangor dan Pulau Pinang," kata Mahfuz yang dipetik dalam akhbar Sinar Harian hari ini.

Kontroversi isu putus hubungan PAS dan DAP tercetus sejak muktamar tahunan parti itu menerima tanpa bahas usul Dewan Ulama tersebut awal bulan lalu.

Susulan keputusan itu, kerajaan DAP Pulau Pinang menyatakan beliau menerima tanpa soal sekiranya ahli PAS dalam kerajaannya mahu meletak jawatan, tetapi mereka enggan atas alasan pelantikan dibuat parti.

Malah, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng juga sudah memberi kata dua kepada ahli PAS yang enggan berganjak daripada kerajaan negeri.

Sementara itu di Selangor, PAS masih lagi berada dalam pentadbirannya walaupun sudah menamatkan kerjasamanya dengan DAP di negeri tersebut.
Mahfuz berkata, langkah seterusnya kini bergantung kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang perlu mengambilkira keputusan yang dibuat Majlis Syura itu untuk menentukan hala tuju di Selangor dan Pulau Pinang.

"Jawatankuasa Kerja PAS Pusat perlu menentukan dengan bijaksana apa yang perlu dilakukan dengan ahli PAS dalam kerajaan negeri Selangor dan Pulau Pinang," katanya.

Mahfuz juga mengulangi pendirian PAS perlu berundur daripada kerajaan negeri."Saya hanya memberikan pandangan ahli PAS perlu berundur daripada kerajaan."Terpulang kepada mereka," katanya.

Dewan Ulama PAS pada muktamar tahunan ke-61 mengusulkan parti Islam itu memutuskan hubungan dengan DAP selepas Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendapat kecaman hebat daripada parti sekular itu.

MUJAHID SILA LETAK JAWATAN AHLI PARLIMEN PARIT BUNTAR


IPOH - Pas Perak meminta Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusoff Rawa melepaskan jawatan sekiranya mahu menyertai parti politik baharu.

Pesuruhjayanya, Razman Zakaria berkata, perkara itu sewajarnya dilakukan memandangkan Mujahid memenangi kerusi berkenaan atas tiket Pas.

“Pada hakikatnya, Mujahid perlu melepaskan jawatan beliau sekiranya mahu menyertai parti selain Pas.

“Cumanya, yang nak ditekankan dan perlu beliau fahami adalah, setiap Ahli Parlimen Pas mempunyai ‘perjanjian khas’ dengan parti,” katanya ketika dihubungi  semalam.

Sebelum ini, Mujahid dalam kenyataannya membayangkan parti politik baharu akan ditubuhkan untuk mewujudkan suasana politik baharu yang mengambil berat mengenai hak dan kepentingan semua bangsa.

Razman berkata, beliau kesal dengan kenyataan Mujahid selain menyifatkan bekas AJK Pas Pusat itu seolah-olah mengkhianati ahli Pas yang membantunya ketika memenangi kerusi Parlimen terbabit pada PRU13 lalu.

“Kalau tidak masakan dia boleh memenangi kerusi berkenaan tanpa pertolongan jemaah dan penyokong Pas dan PR di sana,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya percaya sebahagian besar penyokong Pas tidak akan mudah terpedaya dengan janji manis yang ditawarkan oleh Mujahid khususnya berkaitan dengan gerakan politik baru.

“Mereka terdesak untuk mengekalkan survival politik masing-masing dan saya percaya ahli parti pun tahu, perjuangan Pas adalah bersifat berjemaah dan memelihara dasar Islam daripada diperkotak-katikkan,” katanya.

Disoal mengenai kenyataannya di Facebook yang mendakwa Pas Perak bakal bertanding di 59 kerusi di negeri ini, Razman berkata, perkara itu hanya andaian berdasarkan situasi terkini PR.

“Keadaan PR sekarang tak menentu dan jika parti baharu itu ditubuhkan dan pada masa sama menyertai PR, Pas mungkin tarik diri dan bertanding di kesemua kerusi terbabit,” katanya.

Menurutnya, perkara itu tidak perlu diperbesarkan berikutan semua keputusan mengenai hala tuju dan masa depan Pas dalam PR bergantung kepada keputusan Majlis Syura Ulama.

“Macam mana pun kita kena tunggu apa akan diputuskan oleh Majlis Syura Ulama sebelum bergerak lebih jauh,” katanya.  - Sinar Harian