Friday, March 13, 2015

PAS SELANGOR TEGAS HJ HADI SEBAGAI PRESIDEN



PAS Selangor akan memberikan sokongan penuh kepada Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk kekal sebagai Presiden parti itu pada pemilihan kali ini.

Setiausaha PAS negeri, Mohd Khairuddin Othman berkata PAS Selangor akan menyokong kepimpinan ulama temasuk mana-mana pemimpin profesional atau bukan profesional yang menyokong kepimpinan ulama. 


"PAS memerlukan kepimpinan Abdul Hadi dan kita lihat belum ada pemimpin yang layak mengambil alih jawatan Presiden. 

"PAS Selangor juga akan bersama-sama mempertahankan kepimpinan Abdul Hadi," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis.

Beliau berkata Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad juga telah beberapa kali menyatakan pendirian menyokong kepimpinan ulama dan itu juga merupakan pendirian PAS negeri.

"Kesemua 22 kawasan PAS Selangor akan mula mengadakan mesyuarat agung bermula pada 15 Mac ini dan berakhir pada 26 April.

"Mesyuarat Agung pada kali ini melibatkan pemilihan di peringkat cawangan, kawasan dan pusat," katanya.

Isnin lalu, PAS bahagian Kota Bharu menamakan Naib Presiden PAS , Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai pencabar untuk jawatan presiden, dengan memberikan kesihatan Abdul Hadi sebagai alasan.

Bagaimanapun, Tuan Ibrahim dilaporkan menolak pencalonan itu dengan berkata bahawa ia adalah satu kejutan yang tidak membina keutuhan parti.

Beliau dipetik sebagai berkata, dalam sejarah kepimpinan PAS jawatan Presiden tidak pernah dipertandingkan.