ANTARA EXCO YANG DIPECAT......
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mempunyai kuasa untuk memecat enam Exco kerajaan negeri sama ada ia diperkenankan sultan secara lisan atau bertulis.
Pengamal undang-undang, Gurbachan Singh Pannu ketika dihubungi The Rakyat Post berkata, keadaan yang berlaku di negeri Selangor itu sama dengan situasi ketika bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
“Bila Anwar dipecat beliau dan peguamnya mempertikaikan sama ada keputusan Tun Dr Mahathir itu mendapat perkenan Sultan atau tidak, sebaliknya dalam perbicaraan yang diadakan Tun sudah mendapat perkenan sultan secara lisan,” ujarnya.
Menurutnya, seeloknya perlu ada surat rasmi dari pihak Sultan tetapi sekiranya Tuanku Sultan memberi kebenaran lisan, dalam perundangan ia terpakai.
“Sebaliknya juga boleh dipersoalkan iaitu mana ada bukti bahawa Sultan tidak perkenan Khalid berbuat demikan terhadap enam Exco terbabit?” ujarnya.
Malah katanya, Khalid boleh mencadangkan kepada Sultan untuk memecat kesemua Exco sekiranya beliau sebagai Menteri Besar, hilang kepercayaan terhadap ke semua Exco dalam Pakatan Rakyat (PR).
“Khalid masih Menteri Besar dan beliau mempunyai kuasa untuk melantik atau memecat mana-mana Exco atas perkenan Sultan,” ujarnya.