Wednesday, August 13, 2014

AHLI PAS JANGAN MENYAMPUK URUSAN PKR




Ketua Dewan Ulamak PAS Perak (DUPPk) Ustaz Kamaruddin Awang Basir melalui kenyataan yang di buat semalam meminta ahli PAS supaya tidak dengan sewenang-wenangnya mengeluarkan tafsiran berkenaan isu yang sepatutnya di selesaikan sendiri oleh PKR.

Beliau juga turut menegaskan bahawa DUPPk berdiri utuh mendukung keputusan Majlis Syura Ulamak (MSU) yang berpaksikan hujah syarak dan meraikan kemaslahatan dan kemudaratan ke arah penyelesaian segera krisis di Selangor.

“DUPPk harus bertanggungjawab untuk menjaga dan mempertahankan segala ketetapan yang dinyatakan oleh Presiden, Mursyidul Am dan MSU,” ujar beliau.

Dalam Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat yang akan datang, Kamaruddin berkata DUPPk akan membawa usul-usul yang berkaitan dengan isu Menteri Besar Selangor iaitu menyokong penuh kenyataan dan pendirian pimpinan tertinggi PAS, mempertahankan kenyataan Dr Zuhdi Marzuki dan membelanya dari tuduhan rasis dan ekstremis, mengusul Ahli Jawatankuasa PAS Pusat membentuk jawatankuasa khas bagi mencari pengkhianat parti yang membocorkan perbincangan Whatsapp PAS Pusat dan terakhir, mendesak agar PKR dan DAP tidak mencampuri urusan PAS.

Kamaruddin juga turut berkata bahawa DUPPk memandang serius dan menganggap pernyataan yang di keluarkan oleh dua pemimpin PAS iaitu Hanipa Maidin dan Khalid Samad di pentas forum sebagai satu pengkhianatan terhadap parti dan boleh mengakibatkan robohnya tembok utama kekuatan dan akhlak jamaah iaitu wala’ dan mendesak Jawatankuasa PAS Pusat untuk segera mengambil tindakan ke atas mereka.

“Kedua-dua mereka langsung tidak meletakkan kasih sayang, pertolongan dan kemuliaan terhadap pemimpin tertinggi PAS terutama Presiden PAS dan dalam insiden terbaru, terhadap seorang ahli MSU.” tambah beliau.

“Yakinlah bahawa suatu keputusan yang diputuskan oleh MSU akan mendapat keberkatan, maka adalah wajib bagi setiap ahli PAS yang telah membai’ah Presiden PAS sebagai amir-al-jamaah memberikan taat setia dan wala’ tanpa berbelah bagi,” akhirinya