Thursday, July 10, 2014

MAHFUZ BERI ISYARAT BAKAL BERLAKU PERTUKARAN MB SELANGOR



PAS akan memantau dari semasa ke semasa serta sedia berbincang dengan rakan-rakan di dalam Pakatan Rakyat berhubung 'kemelut' yang berlaku di Selangor.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar berkata, sebarang perubahan dan keputusan kedudukan Menteri Besar Selangor akan dibincangkan bersama dalam rakan-rakan Pakatan Rakyat.

"Sama ada berlakunya perubahan kita akan putuskan kemudian di dalam Pakatan Rakyat," katanya dalam sidang media di Pejabat Agung PAS hari ini.

Beliau turut menegaskan Pakatan Rakyat yang terbentuk pada 2008 adalah bersifat kerajaan campuran dan perbincangan hanya melibatkan tiga parti iaitu PAS, PKR dan DAP.

Bagaimanapun beliau menyerahkan kuasa kepada rakyat untuk menentukan siapa yang akan menjadi menteri besar mereka.

"Saya tidak boleh komen sebab PAS pun tidak ada nama untuk dilantik MB," katanya sebaik ditanya media berhubung desas-desus Persuruhjaya PAS Selangor Iskandar Samad bakal dilantik menjadi menteri besar.

Isu pertukaran menteri besar katanya bukanlah satu isu yang besar atau perlu diperbesarkan kerana keadaan ini juga pernah berlaku di negeri Terengganu.

"Satu perkara biasa sahaja, di Terengganu pun berlaku pertukaran menteri besar," katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.-hd