Thursday, July 10, 2014

TAHNIAH JOKOWI PRESIDEN INDONESIA?


Gabenor Jakarta, Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi dan gandingannya Jusuf Kalla (JK) didapati mendahului pada Pemilihan Umum (Pemilu) Presiden Indonesia 2014 di republik itu pada Rabu.

AntaraNews.com melaporkan berdasarkan laporan Lingkaran Survei Indonesia (LSI), Jokowi dan Jusuf daripada Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) menang di lima wilayah besar di republik itu.

Berdasarkan kiraan pantas portal agensi berita itu memetik petugas (peneliti) LSI Ardian Sopa sebagai berkata bahawa berdasarkan kiraan pantas undi membabitkan tujuh wilayah, Jokowi dan Jusuf menang di Jakarta (54.71 peratus undi), Jawa Tengah (53.65 peratus), Jawa Timur (59.77 peratus), Sumatera Utara (59.77 peratus) serta Sulawesi Selatan (71.82 peratus).

Sementara pencabar Jokowi, Prabowo Subianto dan pasangannya Hatta Rajasa dari Parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra) dilaporkan menang di wilayah Jawa Barat apabila meraih 59.80 peratus undi dan 58.73 peratus undi di Banten

"Jokowi menang besar di kubu kuat Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP) seperti Jawa Tengah, Jawa Timur, Sulawesi Selatan," kata Ardian kepada AntaraNews.com.

"Jawa Tengah memang kubu PDIP. Kemudian Jawa Timur adalah kubu Parti Kebangkitan Bangsa yang menjadi penyokong utama Jokowi-JK, dan Sulawesi Selatan adalah kubu terbesar Jokowi," katanya kepada AntaraNews.com.

Ardian berkata wilayah Jawa Barat dan Banten merupakan kubu terbesar Prabowo-Hatta dalam pemilihan presiden dan wakil presiden 2014.

Kiraan pantas LSI selepas 98.05 peratus kertas undi diterima setakat 3 petang waktu tempatan (Waktu Indonesia Barat) mendapati gandingan Joko Widodo dan Jusuf Kalla mendahului Pemilu Presiden 2014 apabila meraih 53.37 peratus undi, manakala pencabar mereka Prabowo Subianto dan Hatta Rajasa sekadar memperoleh 46.63 peratus undi.

Menurut AntaraNews.com kiraan pantas LSI berdasarkan kepada 8,000 responden di 2,000 tempat penjumlahan undi (TPS) yang dipilih secara rawak daripada 188,246,645 pemilih berdaftar dan 478,833 TPS di seluruh Indonesia.

sumber : mstar