RAMALLAH - PALESTIN . Hamas dan Fatah bersetuju membentuk kerajaan perpaduan dalam perjanjian pembentukan Kabinet baharu, kelmarin.
Pemimpin kanan Hamas Musa Abu Marzouk berkata, Hamas dan Fatah mencapai persetujuan mengenai nama-nama menteri yang akan berkhidmat di dalam kerajaan perpaduan itu nanti.
“Perjanjian itu telah dicapai beberapa hari lalu semasa perbincangan antara Hamas dan pegawai Fatah di Genting Gaza. Kami akan umumkan nama senarai baharu itu sebelum akhir bulan ini,” katanya.
Menurutnya, di bawah perjanjian itu, Hamas dan Fatah diberi tempoh lima minggu untuk membentuk kerajaan dan mengadakan pilihan raya enam bulan kemudian.
Keputusan pembentukan kerajaan perpaduan itu bagaimanapun mencetuskan kemarahan Israel dan mengancam untuk melanjutkan tempoh sekatan ekonomi dan kebebasan terhadap rakyat Palestin.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memberitahu Fox News bahawa rundingan dengan Palestin akan terus gagal jika Hamas dan Fatah membentuk Kabinet perpaduan.
Bulan lalu, perancangan untuk melakukan kerajaan perpaduan diperkuatkan dengan peningkatan penindasan dan pencabulan hak terhadap rakyat Palestin dan beberapa siri serangan rejim Zionis, dipetik dari laporan Al Ahram.