Tuesday, May 20, 2014

PRK51 : NABI BUX YAKIN MENJADI PILIHAN PENGUNDI


Calon Bebas pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gelugor Mohamed Nabi Bux Mohd Nabi Abdul Sathar yakin akan mendapat sehingga 70 peratus undi di kawasan berkenaan.

Mohamed Nabi Bux, 63, berkata beliau bukan sahaja mendapat sokongan daripada orang Melayu di Parlimen Bukit Gelugor malah kaum lain juga memberi maklum balas yang baik sepanjang siri kempennya sejak penamaan calon pada Isnin lepas.

"Sokongan dan maklum balas yang diterima sangat baik dan boleh dikatakan setiap tempat yang saya pergi berkempen memberi reaksi yang baik," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pasar Malam Kampung Melayu, Air Itam di sini hari ini.

Ditanya mengapa beliau begitu yakin akan menang, Mohamed Nabi Bux berkata ia berdasarkan manifestonya dan sepanjang berkempen beliau tidak pernah menabur janji.

PRK Parlimen Bukit Gelugor Ahad ini menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Mohamed Nabi Bux dan Ramkarpal Singh Deo (DAP) serta calon Parti Cinta Malaysia (PCM) Datuk Huan Cheng Guan dan seorang lagi calon bebas Abu Backer Sidek Mohamad Zan. - Bernama