Friday, August 8, 2014

HOT!!! KEPUTUSAN SYURA SEMALAM TIDAK SAH




Walau apapun keputusan yang dicapai dalam mesyuarat Majlis Syura Ulama iaitu badan kedua tertinggi Pas di Kota Bharu malam tadi, ia tidak akan digunapakai oleh Jawatankuasa Pas Pusat yang akan bersidang pada Ahad ini. 

Ini berikutan mesyuarat Majlis Syura Ulama itu dikatakan tidak sah kerana diadakan sebelum mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat, iaitu suara rasmi parti dalam menentukan setiap langkah organisasi politik itu, terutama berkaitan kemelut di Selangor. 

Sumber Pas Pusat memberitahu, pihaknya sehingga hari ini tidak dimaklumkan mengenai keputusan yang dicapai dalam mesyuarat berkenaan yang dipengerusikan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. 

"Tetapi desas desus mengatakan Majlis Syura Ulama Pas tidak bersetuju dengan sebarang keputusan pakatan pembangkang hendak menggantikan jawatan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. 

"Keputusan ini tidak akan dapat mempengaruhi ahli korum yang bermesyuarat pada 10 Ogos ini di Kuala Lumpur kerana Pas Pusat perlu akur dengan syarat dan perjanjian yang dimeterai dengan dua rakan gabungannya dalam pakatan pembangkang,” kata sumber itu kepada MalaysiaGazette. 

Turut hadir pada mesyuarat yang tamat kira-kira jam 12 tengah malam itu ialah Timbalan Majlis Syura Ulama, Datuk Harun Din; Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Naib Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Setiausahanya, Datuk Nik Zawawi Salleh. 

Mesyuarat bermula jam 9.30 malam itu juga turut dihadiri ahli Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman, Datuk Ahmad Yakub, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed, Datuk Muhammed Daud, Nasrudin Hassan, Zaharudin Muhammad, Wardah Tahir, Nadzirah Mohamad dan Hashim Jasin. 

Difahamkan, mesyuarat Majlis Syura Ulama diadakan lebih awal bagi mempengaruhi korum Jawatankuasa Pas Pusat supaya menolak cadangan PKR melantik Presidennya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu. 

Namun keputusan itu, walaupun dari suara Presiden, Naib Presiden, Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Majlis Syura Ulama, tidak akan dapat mempengaruhi kehendak korum dalam Jawatankuasa Pas Pusat kerana majoriti daripada jawatankuasa itu pada dasarnya bersetuju berlaku pertukaran Menteri Besar di Selangor. 

Ini telah dinyatakan dari awal oleh Ahli Parlimen Pas Sepang, Mohamed Hanipa Maidin bahawa segala keputusan berkaitan parti, hanya parti yang menentukan, bukan individu. 

Sebelum ini, Abdul Hadi dan Nik Abdul Aziz telah menyatakan pendiriannya mahu Abdul Khalid dikekalkan kerana tidak ada sebab Menteri Besar itu ditukar berikutan prestasi membanggakan sepanjang enam tahun menerajui Selangor. 

Walaupun Majlis Syura Ulama tidak mendedahkan keputusan yang dicapai malam tadi, tetapi pendirian kedua-dua pemimpin tertinggi Pas terhadap Abdul Khalid itu sudah cukup dijadikan alasan oleh Pas Pusat untuk tidak akan menggunapakaikannya pada mesyuarat Ahad ini.