Saturday, June 15, 2013

PRU 14 : KHALID SAMAD BELASAH AZMIN ALI


Pada mulanya saya mengucapkan terima kasih kepada Sdr Arutchelvan (Arul PSM) yang telah memberikan komen berhubung tulisan saya mengenai DUN Semenyih tempoh hari. Komen beliau adalah seperti berikut:
    “Sdr Khalid Samad yang dihormati, Saya ingin memperjelaskan satu perenggan dalam tulisan ini mengenai PSM dan PRU DUN Semenyih yang tidak tetap dan tidak benar.

    PSM semasa rundingan kerusi dengan DSAI pada 13 April 2013 yang juga dihadiri oleh saya, Dr. Nasir dan Dr. Jeyakumar di pihak PSM dan Tian Chua dan Xavier Jeyakumar dipihak PKR. Dalam meeting tersebut, PSM setuju untuk guna lambang PKR untuk DUN Semenyih tetapi meminta PKR menimbangkan samada PSM boleh tanding logo sendiri di salah satu dari dua kws yang PSM menang 2008 iaitu KD dan Sg. Siput. DSAI menjelaskan ia adalah susah tetapi memberi masa untuk PSM bincang balik dalam mesyuarat PSM manakala beliau berjanji tidak akan mengumumkan kerusi DUN Semenyih dan KD.

     Tetapi pada 14 April, PKR umum mereka tanding di Semenyih tetapi tidak umum KD. Ini adalah satu mungkir janji. Pada 15 April, PSM beritahu bahawa PSM setuju tanding semua kerusi bawah PKR setelah dapat persetujuan ahli. Tian Chua dan beberapa pemimpin kanan PKR berkata memang Semenyih kerusi PSM dan mereka hanya perlu 2 jam untuk jelaskan kepada Azmin Ali dan kerusi untuk akan diberi kepada PSM.

    Namun selepas itu mereka megakui Azmin tidak mahu beri laluan walaupun ramai pemimpin PKR dan pemimpin BERSIH dan NGO desak PSM diberi tanding guna logo PKR. Azmin berkeras mahu calon melayu dan mereka juga tidak kotakan perjanjian untuk beri kerusi ini kepada PSM walaupun PSM sudah setuju awal-awal untuk tanding bawah logo PKR. Akhirnya pemimpin tertinggi PKR minta PSM tanding logo PSM kerana mereka tidak dapat laluan dari Azmin.”

Saya tidak berhajat untuk memberi komen berhubung apa yang telah dirundingkan di antara PSM dan PKR dan saya anggap ianya sebagai urusan diantara PKR dan PSM yang saya tidak ada kena-mengena dengannya mahupun PAS. Sepertimana yang Sdr Arul sedia maklum, permohonan PSM untuk bersama dalam PR telah ditolak sejak dari dulu lagi dan itulah sebabnya mengapa persoalan bertanding dengan menggunakan lambang PKR menjadi relevan.

Tujuan bertanding dengan mengguna lambang PKR adalah supaya calon yang diturunkan adalah sebagai calon PKR dan bukan sebagai calon PSM. Ini adalah kerana PSM tidak merupakan anggota PR. Tawaran ini merupakan kelonggaran yang diberikan oleh PKR kepada anggota PSM untuk mengelak berlakunya 3 penjuru. Mengelak berlakunya 3 penjuru pula adalah bertujuan untuk memungkinkan kemenangan bagi pihak PR dan kekalahan bagi pihak BN. Memenangkan kerusi yang ditandingi adalah matlamat di sebalik semua perkiraan ini.

Dalam kes Semenyih, sekiranya benar Azmin tidak bersetuju Sdr Arul diturunkan sebagai calon PKR, ianya mungkin atas sebab alasan ‘winability’ Sdr Arul sebagai calon di Semenyih. Sepertimana yang diketahui bersama, Semenyih adalah kawasan majoriti pengundi Melayu dan BN menurunkan calon UMNO untuk bertanding di situ. Walaupun kita menolak politik kaum, kita tidak boleh menafikan bahawa ia merupakan faktor yang akan diambil kira oleh pengundi-pengundi Melayu khususnya yang atas pagar.

Maka di atas hasrat untuk menambahkan kemungkinan menang, maka Azmin sebagai pengerusi PKR Selangor memutuskan bahawa calon PKR di Semenyih perlu merupakan calon Melayu. Oleh itu pencalonan Sdr Arul ditolak. Ini adalah merupakan bacaan saya.

Apabila keputusan PKR yang sebegitu dibuat, maka Sdr Arul berhadapan dengan 2 pilihan. Yang pertama, bertanding sebagai calon PSM dan dengan itu akan berlakunya keadaan 3 penjuru yang hanya akan menguntungkan UMNO/BN.

Pilihan kedua adalah untuk Sdr Arul menerima keputusan itu sebagai keputusan strategik yang dibuat oleh PKR dalam usaha memenangkan calonnya dan dengan itu berkempen bersama calon PKR untuk menjatuhkan calon UMNO.

Sekiranya kita meletakkan kekalahan BN sebagai objektif utama kita, maka sepatutnya Sdr Arul memilih pilihan kedua. Malangnya, mungkin di atas perkiraan lain, termasuk mungkin untuk membuktikan wujudnya sokongan yang kuat bagi PSM, maka Sdr Arul telah memilih pilihan pertama.

Kesan dari pilihan Sdr Arul diketahui umum. UMNO/BN menang dan hubungan Sdr Arul dengan PKR menjadi kurang baik.

Kalau Sdr Arul bertanya pada saya sebelum berlangsungnya PRU tempohari mengenai pandangan saya berhubung dua pilihan ini, maka saya akan menjawab “pilihlah pilihan kedua”. Tetapi Sdr tidak bertanya; dan sememangnya tidak perlu merujuk kepada saya sekalipun. Sdr Arul adalah dari PSM bukannya PAS. Yang dari PAS sendiri pun tidak merujuk kepada saya, walaupun saya merupakan wakil PAS Selangor yang bertanggung-jawab untuk berunding kerusi dengan PKR, apatah lagi Sdr yang dari PSM!

Maka akhirnya kita semua, saya yakin, merasa sedih dengan keputusan yang tercapai di Semenyih. Tetapi apa boleh buat, nasi sudah menjadi bubur.

Namun, apa yang lebih penting sekarang ialah apa yang kita semua ingin dilakukan pada masa akan datang, khususnya PRU 14. Suasana yang sama akan timbul sekali lagi. Pilihan yang sama akan kita hadapi. Sekiranya apabila berhadapan dengan keadaan yang sama, PSM memutuskan untuk bertanding walaupun akan berlaku 3 penjuru, maka pencapaian di Semenyih mungkin diulangi di beberapa kerusi. Dan kali ini bukan sahaja di Semenyih tetapi di mana sahaja PSM dapat bertapak dan dapat sokongan. Ianya tidak perlu ramai, seribu atau dua mungkin cukup untuk mengubah keputusan di beberapa tempat.

Ada yang menganggap bahawa sekiranya PSM bertanding 3 penjuru berlawan dengan calon PR dan BN maka undi PR tidak akan terjejas. Ini adalah kerana dianggap PSM tidak mempunyai sokongan. Saya harap tanggapan itu benar tetapi berdasarkan keputusan di Semenyih ianya seakan-akan sebaliknya. Mungkin kerana Selangor berbeza dengan Terengganu dan Kelantan. Kalau di Terengganu dan Kelantan mungkin undi PSM tidak begitu banyak. Tetapi di Selangor kes Semenyih perlu diberi perhatian.

Di Semenyih BN mendapat 17,616 undi, manakala PKR mendapat 13,471 undi dan PSM dapat 5,568 undi. Tetapi di Jelapang PSM mendapat 2,568 undi. BN pula mendapat 4,655 dan DAP mendapat 16,921 undi. Mungkin sebahagian akan menjadi seperti Jelapang (kawasan DAP) dan sebahagian akan jadi seperti Semenyih (kawasan PKR dan PAS?).

Dalam soal ini pimpinan PR perlu berbincang dan memutuskan strategi yang boleh terus menjamin suasana satu lawan satu di semua kerusi demi mengalahkan UMNO/BN. Buat masa ini saya sendiri tidak nampak kaedah lain, selain yang telah diguna-pakai pada 2008 dan pada 2013 di KD dan Sungai Siput. Di Sungai Siput ia berjalan dengan baik. Tiada 3 penjuru dan calon PKR dari PSM menang. Di KD semua telah tahu kesudahan ceritanya.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD