Monday, May 11, 2015

TI-M PULAK PERSOALKAN NAJIB




Transparency International-Malaysia (TI-M) hari ini menggesa Datuk Seri Najib Razak melepaskan jawatan menteri kewangan susulan kebimbangan yang makin memuncak berhubung pengendalian syarikat pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB). 

Jawatan perdana menteri dan menteri kewangan seharusnya tidak dipegang oleh seorang individu pada masa yang sama, kata badan pemerhati anti rasuah itu yang memandang serius isu terbaru yang hangat diperkatakan, membabitkan Lembaga Tabung Haji dan 1MDB.


Presidennya Datuk Akhbar Satar berkata, amalan sedemikian bercanggah dengan prinsip "semak dan imbang" dalam Kabinet.

"Dengan memastikan menteri kewangan dan perdana menteri adalah individu berbeza, rakyat sedikit sebanyak akan mendapat jaminan yang pandangan berbeza dan pemikiran yang berbeza boleh mempertimbangkan keputusan kewangan secara wajar dan objektif," kata Akhbar dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas percanggahan kepentingan yang berlaku dalam urus niaga antara Tabung Haji dan 1MDB dalam proses pembelian tanah bernilai RM188.5 juta di Tun Razak Exchange (TRX).

Ia menyaksikan 3 anggota lembaga pengarah Tabung Haji turut memegang jawatan dalam 1MDB.

"Bukan semua keputusan dibawa ke Kabinet untuk kelulusan, dan menteri kewangan mempunyai kuasa luas dalam tangannya membuat keputusan sendiri dalam negara seperti kita ini.

"Dari sudut integriti, ketelusan dan urus tadbir yang baik, tidak lagi sesuai meletakkan portfolio itu pada perdana menteri," kata Akhbar.

Katanya, mungkin pada masa lalu wujud keperluan dua portfolio itu dipegang seorang individu bagi tujuan kecekapan pentadbiran.

"Bagaimanapun, ketika ini, yang lebih penting ialah memastikan rakyat melihat proses yang sewajarnya dijalankan dan wang pembayar cukai dilindungi," katanya.

Sehubungan itu, TI-M menggesa Putrajaya tidak lagi melaksanakan amalan sedemikian dan melantik individu yang kompeten di Kabinet bagi mengisi jawatan menteri kewangan.

"Wujud keperluan mendesak untuk negara bagi menyaksikan perubahan struktur kepimpinan dalam menangani tuduhan-tuduhan kerajaan tidak mengamalkan 'bersih, cekap dan amanah'," katanya.