Thursday, April 23, 2015

PRK044 : PKR YAKIN TUNDUKKAN PAS PERMATANG PAUH



 PKR akan meneruskan perbincangan dengan PAS dan optimis kedua-dua parti itu akan mencapai kata sepakat untuk bekerjasama dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh. Pengerusi PKR negeri, Datuk Mansor Othman, berkata semua peringkat kedua-dua parti itu akan meneruskan perbincangan untuk menyelesaikan isu ini sebelum hari penamaan calon Sabtu ini. Sambil mengakui wujud ketidakpuasan hati di kalangan anggota PAS, beliau yakin anggota parti itu akan menyokong calon PKR yang akan diumumkan kelak.


"Saya tidak berasa benda (perkara) ini akan berpanjangan dan sebaliknya saya yakin PAS akan beri sokongan penuh kepada PKR," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pusat Media PKR di Bangunan Yayasan Aman di sini hari ini. 

Katanya, DAP dan PAS bersetuju memberi laluan dan mereka akan menyokong calon PKR untuk bertanding di kawasan ini. Minggu lepas, Yang Dipertua PAS Permatang Pauh, Omar Hassan bertegas supaya PKR menarik balik kenyataan tidak menyokong rang undang-undang persendirian berkaitan hudud jika mahukan sokongan PAS. 

Sementara itu, Mansor yang juga pengarah Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh berkata PKR akan mengumumkan calonnya pada 24 April ini di Seberang Perai Arena. Katanya, semua barisan kepimpinan PKR, PAS dan DAP akan hadir semasa pengumuman calon nanti. PRK Parlimen Permatang Pauh diadakan berikutan keputusan Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon Ahli Parlimen kawasan itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui anggota keluarganya, sekali gus menyebabkan Anwar hilang kelayakan sebagai wakil rakyat. Penamaan calon bagi PRK itu pada 25 April dan pengundian 7 Mei. - BERNAMA