Sunday, April 19, 2015

PRK044 : NO KOMEN DARI KAK WAN TENTANG PAS DI PERMATANG PAUH

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail terus 'mengunci mulut' apabila ditanya berhubung sokongan rakan sekutunya, PAS, terhadap PKR sepanjang pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh. 

Ditanya siapa pemimpin tertinggi PAS pusat yang akan hadir pada majlis pengumuman calon PKR yang dijadual 24 April ini, Wan Azizah berkata: "Tunggu dan tengok...tak tahu lagilah (siapa yang akan hadir)".

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran program Tampil di Kompleks An-Nahdhoh, di Bukit Mertajam hari ini.

Mengenai siapa yang akan mengumumkan calon PKR pada hari pengumuman calon itu, Dr Wan Azizah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang, meminta pemberita bersabar dan menunggu sehingga hari itu.
Pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh diadakan berikutan keputusan Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja bagi anggota Parlimen kawasan itu Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipohon melalui anggota keluarganya.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi PRK Permatang Pauh 7 Mei, penamaan calon 25 April manakala pengundian awal 3 Mei.

Terdahulu, pada majlis pelancaran program yang sama di Dewan Sri Pauh, Bandar Perda dekat sini, Dr Wan Azizah berkata beliau tidak tahu mengenai laporan dakwaan lima Anggota Dewan Undangan Negeri dari PKR akan melompat parti dan bekerjasama dengan bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
"Itu saya kena dapatkan pengesahan. Sebab saya tak fikir demikian...dari sumber mana?.

"Tanya mereka lah, siapa dia mereka (yang membuat dakwaan) itu?..Saya pun tak tahu," katanya.
Semalam sebuah portal (Suara.TV) melaporkan Abdul Khalid dijangka kembali menerajui Selangor menggantikan Menteri Besar Azmin Ali.

Portal itu turut memetik sumber sebagai berkata satu perjumpaan rahsia antara Abdul Khalid dan presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang diadakan di Jakarta bagi membincangkan perkara berkenaan.

Dalam pada itu, PAS Permatang Pauh akan mengadakan mesyuarat esok bagi memutuskan sama ada PAS kawasan itu akan membantu PKR dalam kempen PRK Parlimen Permatang Pauh.

Ketua Penerangan PAS Permatang Pauh Jamsari Samad berkata pada mesyuarat itu kesemua 30 cawangan akan diberi peluang berbahas bagi menyatakan suara akar umbi berhubung perkara itu.

"Satu sidang media akan diadakan berhubung perkara itu," katanya dalam kenyataan di George Town hari ini.
Akhbar semalam memetik Jamsari sebagai berkata, PKR berkemungkinan akan menghadapi protes secara senyap daripada PAS, jika parti itu berkeras untuk meletakkan Dr Wan Azizah atau anggota keluarganya sebagai calon PRK itu. - Bernama