Saturday, April 18, 2015

PRK 044 : PKR YAKIN PAS AKAN BANTU



PKR menegaskan parti itu masih mendapat kerjasama dan sokongan padu daripada pemimpin tertinggi Pas dan DAP bagi memenangkan calonnya bagi menghadapi PRK Permatang Pauh pada 7 Mei ini.

Demikian kata Timbalan Presidennya, Mohamed Azmin Ali sambil menyifatkan dakwaan mengatakan Pas kawasan Permatang Pauh bakal melancarkan protes senyap itu sebagai bersifat peribadi dan tidak mewakili suara keseluruhan pimpinan Pas.

“Ketika kita melancarkan jentera pada tiga malam yang lalu, kita lihat kehadiran pimpinan tertinggi Pas dan juga DAP menyatakan sokongan secara terbuka dan akan bekerja kuat untuk menjamin kemenangan PR.

“Kemudian disusuli oleh AJK Pas Pusat, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa yang memberikan penjelasan dan komitmen yang jelas,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah dan pelancaran Rumah Selangorku 'Karya Residensi' di Kampung Jawa, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ketua Penerangan Pas kawasan Permatang Pauh, Jamsari Samad pada Khamis mengatakan PKR berkemungkinan akan menghadapi protes secara senyap daripada pengundi, termasuk Pas, jika parti itu berkeras untuk meletakkan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail atau anggota keluarganya sebagai calon pilihan raya kecil itu.

PRK Parlimen Permatang Pauh diadakan berikutan keputusan Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon penyandangnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui ahli keluarganya, sekali gus menyebabkan Anwar hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK Permatang Pauh pada 7 Mei, penamaan calon 25 April manakala pengundian awal 3 Mei.