Wednesday, January 21, 2015

MUSTAFA ALI SUDAH WARNING DAP?


Pertengkaran terbuka di antara parti komponen Pakatan Rakyat (PR) berterusan apabila PAS hari ini menggesa DAP agar tidak angkuh.

Menjawab kritikan Setiausaha Pengelola DAP Anthony Loke baru-baru ini yang mendesak PAS tidak membandingkan pilihan raya kerajaan tempatan dan hudud, Datuk Mustafa Ali berkata, Pulau Pinang tidak boleh melaksanakan sesuatu tanpa persetujuan bersama PR.



"Dalam kes hudud yang tidak termasuk dalam polisi bersama, DAP mati-matian berkata, ia tidak boleh dilaksanakan tetapi dalam kes kerajaan tempatan yang juga tidak termasuk dalam polisi bersama ia diteruskan kerajaan Pulau Pinang. Ini yang menjadi persoalan.


"Pendirian pemimpin PR berkaitan isu kerajaan tempatan jelas, ia tidak mempunyai persetujuan bersama untuk dilaksanakan. Ini boleh dibuktikan daripada perkara sama dikemukakan Teresa Kok sewaktu menjadi pengerusi DAP Selangor yang mengemukakan isu pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan di Selangor," katanya dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insider.

Mustafa yang juga setiausaha agung PAS berkata, cadangan menjalankan pilihan raya tempatan sewajarnya tidak diteruskan selagi masih belum mendapat persetujuan bersama dalam PR.

"Pendirian yang diambil pimpinan PR dalam mesyuaratnya berhubung isu ini jelas menolaknya sehingga ia dibincangkan bersama ketiga-tiga parti di peringkat negeri. Sehingga ini tiada sebarang keputusan dibuat PR di peringkat negeri.

"Jelas tiada persetujuan di kalangan pimpinan. Tetapi dalam kes Pulau Pinang kerajaan DAP tanpa merujuk kepada pimpinan pusat, ia terus dilaksanakan. Ini yang menjadi persoalannya. Apa sebabnya, adakah kerana mereka ada majoriti dalam DUN Pulau Pinang," katanya.
Mustafa turut membidas DAP kerana bersikap angkuh walaupun sebelum ini paling lantang bercakap mengenai demokrasi.

"Ini gambaran sikap angkuh yang ditunjukkan pemimpin DAP apabila mereka memperoleh kuasa majoriti. Hal ini juga dimanifestasikan pimpinan DAP Sarawak yang membuat kenyataan, tidak perlu kerjasama PAS dan PKR sekalipun hanya kerana DAP paling kuat di Sarawak.

"Sifat arrogant sebagaimana yang ditunjukkan sebahagian pemimpin DAP ini satu amalan yang tidak baik dalam konteks kerjasama politik sekarang," katanya.

Perkembangan terkini ini rentetan daripada usaha PAS untuk terus melaksanakan hukum hudud di Kelantan pada tahun lepas, tetapi DAP mengkritik serius usaha tersebut.

Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke pada Ahad berkata, perbandingan yang cuba dilakukan Mustafa tidak boleh menyamakan hudud dengan pilihan raya kerajaan tempatan kerana perbezaan itu terlalu jauh ibarat "epal dengan oren".

"Pilihan raya kerajaan tempatan memang tidak dinyatakan dalam Buku Jingga, namun secara dasarnya ia tidak bercanggah dengan proses pendemokrasian yang kami cadangkan di dalam PR," katanya.
Loke yang juga ahli Parlimen Seremban berkata, berbeza dengan hudud yang dicadangkan PAS untuk dilaksanakan di Kelantan, ia bercanggah dengan dasar bersama PR.

"Hudud bukan perkara dasar bersama PR, ia berbeza," katanya.
Katanya, tindakan kerajaan Pulau Pinang cuba memperkenalkan pilihan raya kerajaan tempatan ialah usaha memulihkan kerajaan tempatan berlandaskan lunas undang-undang.

PAS sebelum ini menyelar DAP "cakap tidak serupa bikin" dalam mempersoalkan hudud yang dikatakan tidak dipersetujui PR sedangkan mereka sendiri mendahului gabungan itu dalam isu pilihan raya kerajaan tempatan.

Mustafa berkata, ketika DAP mempertikaikan Kelantan kerana mahu melaksanakan hukum Islam hudud, DAP cuba melaksanakan pilihan raya kerajaan tempatan di Pulau Pinang walaupun ia tidak pernah dipersetujui PR.

"Sedangkan PR sebelum ini pernah membincangkan isu hudud dalam mesyuarat dan dicapai kata sepakat untuk 'agree to disagree' dan mengakui hudud melampaui PR kerana ia diluluskan di Kelantan sebelum wujudnya PR di samping ia dilaksanakan untuk orang Islam dan di Kelantan saja," kata Mustafa.