Friday, November 14, 2014

TIADA LAGI RUMAH KOS RENDAH DI PULAU PINANG?



Pada 2012 GuanEng peruntukan sejumlah RM500 juta untuk pembinaan rumah mampu milik kepada PDC. Ia adalah dari hasil jualan tanah kerajaan kepada pemaju swasta di Bayan Mutiara. Sehingga kini belum ada seunit pun rumah mampu milik yang sudah siap dibina oleh PDC, agensi yang dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan pembinaannya.

Perumahan Mampu Milik di Jalan SP Chelliah atas tanah milik MPPP diswastakan kepada Zubicon Sdn Bhd setahun lalu. Petang tadi semasa melalui kawasan berkenaan, saya lihat kontraktor sedang menjalankan kerja-kerja menebang pokok. Projek ini sepatutnya bermula awal tahun ini. Persoalannya, kenapa diswastakan projek perumahan mampu milik ini jika Kerajaan Negeri sudah mempunyai dana sejumlah RM500 juta?

Pembinaan Rumah Mampu Milik berjumlah 11800 unit di Batu Kawan diserahkan kepada kontraktor dari Singapura untuk menjalankan kerja-kerja pembinaannya malahan perunding projek juga adalah dari Singapura. Mengikut laporan, projek ini sudah bermula enam bulan lalu.

Beberapa hari lalu, Ketua Menteri Pulau Pinang menyatakan bahawa kerajaan negeri akan mengalami kerugian sebanyak RM800 juta untuk membina rumah-rumah Mampu Milik. Ini sesuatu yang agak menghairankan kerana rumah-rumah tersebut akan dijual kepada pembeli-pembeli dan bukannya diberikan secara percuma. Ketua Menteri perlu menjelaskan bagaimana boleh sebuah kerajaan yang kompeten dalam pengurusan kewangannya boleh mengalami kerugian yang sebegitu besar.

Meneliti laman web e-Perumahan Kerajaan Negeri Pulau Pinang, anda boleh dapati sejak 2008 sehingga Mei 2014, projek perumahan Kos Rendah dan Kos Sederhana Rendah kesemuanya kecuali satu, dijalankan oleh pemaju-pemaju swasta. Hanya satu projek dijalankan oleh PDC milik kerajaan negeri yang pembinaannya bermula sebelum 2008 telah disiapkan.

PANDANGAN DARI SEORANG TEMAN