Thursday, September 18, 2014

MUKTAMAR PAS YANG LESU DAN SEJUK




WAN NORDIN WAN YAACOB | 16 September 2014. 

MUKTAMAR Pemuda PAS Malaysia berlangsung di Dewan Choon Moi, Kota Tinggi bermula hari ini dengan perasmian disempurnakan oleh Timbalan Presiden, Mohamad Sabu dan ucapan dasar Ketua Pemuda, Suhaizan Kaiat bertemakan ' Memperkukuh Muafakat' bermula agak sejuk. 

Dalam suasana 'politik yang panas' hari ini berikutan isu krisis pelantikan Menteri Besar Selangor, ucapan dasar yang disampaikan oleh Ketua Pemuda seolah-olah disambut sepi oleh perwakilan, termasuk kurangnya sahutan laungan takbir ketika bekas Ketua Pemuda PAS Johor ini meninggikan nada pada beberapa 'point' penting dalam ucapannya. 

Sepintas lalu ucapan dasar ketua pemuda pada muktamar kali ini bagaikan 'bercakap depan mayat' yang tiada lagi gerak gentanya. Sekian lama muktamar dihiasi dengan laungan takbir dan laungan sorak apabila beberapa point penting ditekankan ketua-ketua pemuda, namun kali ini bagaikan sepi tak bersahut. 

Muktamirin bagai memerhati sahaja tingkah ketua pemuda yang 'bersemangat' membuka silat pencak bagi membungkam sepi muktamirin, hatta ketika Suhaizan bercakap mengenai jihad di Palestin dengan mengalukan kehadiran wakil Hamas ke Muktamar Pemuda PAS ke-55 ini. 

Entah ke mana wajah-wajah segar para perwakilan yang sebelum ini cukup agresif dalam menatari setiap bait kata ucapan dasar ketua pemuda, kali ini bagai bermain dalam halusinasi yang tidak berkesudahan. 

Mungkin leteran luar daripada pengkritik yang mendakwa bahawa bibit perpecahan semakin ketara di dalam saf kini menjadi satu lagi bayangan keabsahan yang tidak boleh tertolak. 

Laungan isu, laungan kata semangat dan pugaran isu untuk menongkah kejahatan Umno-BN langsung tidak bersahut.Suara bentak Suhaizan bagaikan tidak mampu membuka minda perwakilan yang ketika ini mungkin sedang berteka-teki kemana haluan sebenarnya Pemuda PAS selepas ini. 

Mungkin sekali kesan isu krisis MB Selangor dengan pendedahan 'jahat' ketua AMK, Nik Nazmi Nik Ahmad berhubung inti pertemuan tertutup Pemuda Pakatan Rakyat akhirnya menjadi asas kepada perwakilan untuk menutup semangat sebenar muktamar. 

Di peringkat awal ini, muktamar bagaikan dilanggar garuda, sunyi sepi dan tiada bernyawa, bagaimanapun ramai yang berpandangan di peringkat perbahasan nanti bakal berlaku 'kegoncangan' yang dahsyat termasuk isu-isu membabitkan kepimpinan dua hala.