Wednesday, March 26, 2014

KERAJAAN TUBUH SURUHANJAYA SIASATAN DI RAJA



Kerajaan sedang mempertimbangkan sama ada untuk menubuhkan satu Suruhanjaya DiRaja atau membentuk Jawatankuasa Parlimen dalam satu  inkuiri siasatan berhubung kehilangan Pesawat MH370 Penerbangan Malaysia.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata beliau telah diberikan dua saranan dari beberapa pihak dalam membuat inkuiri siasatan berhubung kehilangan pesawat tersebut.




"Terdapat saranan untuk menubuhkan satu inkuiri siasatan di mana ahli dari Jawatankuasa Parlimen akan dipilih untuk menyertainya manakala satu lagi gesaan adalah agar ditubuhkan sebuah Suruhanjaya DiRaja namun saya tiada kuasa untuk membuat keputusan itu," katanya kepada pemberita pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), petang tadi.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan bagaimanapun mengesahkan bahawa Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) sedang menjalankan inkuiri mereka sendiri terhadap kes tersebut.

"Malah, Kementerian Pengangkutan juga sedang memilih anggotanya untuk dibawa ke Lembaga Inkuiri yang akan ditubuhkan nanti,".

Beliau juga telah mengarahkan Kementerian Pengangkutan untuk membangkitkan perkara tersebut pada Mesyuarat Kabinet yang akan berlangsung pada Jumaat ini.

"Perkara yang berlaku ini agak mengejutkan tanpa diduga apa yang telah kita lalui selama ini akan menjadi indikasi penting bagi kita apabila bertemu dalam mesyuarat kabinet itu nanti,".

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang turut berada pada sidang media yang sama memberitahu bahawa siasatan terhadap alat simulatorpenerbangan yang diambil dari rumah juruterbang pesawat MH370, Kapten Zaharie Ahmad Shah masih lagi berjalan.

"Kita masih lagi menunggu laporan dari rakan-rakan kita dari luar negara dan selain tu juga siasatan kita masih lagi berterusan melibatkan empat aspek yang pernah kita jelaskan dahulu," kata Khalid.

Empat aspek yang masih berada dalam ruang lingkup siastan polis dalam kes kehilangan pesawat MH370 ini termasuklah rampasan, sabotaj, masalah psikologi dan masalah peribadi penumpang dan kru.

Namun, beliau enggan mendedahkan sebarang maklumat awal siasatan kerana tidak mahu ianya mengganggu siasatan.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) mengesahkan bahawa perjalanan pesawat MH370 itu telah berakhir di selatan Lautan Hindi.

Pengesahan itu dilakukan selepas menerima maklumat kedudukan terakhir pesawat itu yang didasarkan kepada maklumat daripada data satelit yang diberikan oleh syarikat Britain, INMARSAT dan Bahagian Penyiasatan Nahas Udara United Kingdom (AAIB) dan mendapati pesawat Boeing 777-200 itu telah terbang ke jalur selatan iaitu isyarat terakhir yang dikesan daripada pesawat itu.- ASTRO AWANI