Tuesday, February 4, 2014

UTUSAN MALAYSIA DESAK SPR SIASAT BEKAS ADUN KAJANG


Utusan Malaysia hari ini menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyiasat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang, Lee Chin Cheh yang dikhuatiri terlibat dalam salah laku rasuah. 

Kolumnisnya, Awang Selamat berkata, Lee tidak boleh dibiarkan begitu sahaja bagi memastikan tindakan sama tidak diambil oleh wakil rakyat lain atas nama demokrasi songsang. 

“Awang menggesa SPR menyiasat Lee yang mengosongkan kerusinya untuk memberi laluan kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

“Lee tidak boleh dilepaskan begitu sahaja tanpa penyiasatan rapi termasuk berkaitan unsur rasuah. Kemungkinan itu tidak boleh ditolak mentah-mentah kerana reputasi PKR sudah buruk dan busuk,” katanya dalam akhbar edisi Ahad, Mingguan Malaysia. 

Pada satu siang media pada Isnin, Speaker DUN Selangor, Hannah Yeoh mengumumkan peletakan jawatan Lee setelah surat peletakan jawatan itu diterimanya berkuatkuasa serta-merta. 

Lee dalam satu kenyataan pada hari sama berkata, peletakan jawatannya adalah untuk kepentingan Pakatan Rakyat (PR) di Selangor. 

Sumber dalaman PKR memberitahu peletakan jawatan Lee bertujuan memberi laluan kepada Anwar bertanding di kerusi itu bagi membolehkan dirinya menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar Selangor. 

Awang berkata, perbuatan Lee itu sebagai satu usaha ‘meliwat’ demokrasi dalam amalan politik songsang dan gila kuasa. 

Katanya, jika hal itu tidak ditangani bermakna perbuatan itu seakan dihalalkan dan membiarkan rakyat menjadi mangsa atas permainan politik parti tertentu. 

“Awang bimbang gejala itu umpama membenarkan demokrasi diliwat semahu-mahunya dalam amalan politik songsang disebabkan penyakit nafsu dan gila kuasa. 

“Apakah semua mahu diliwat - manusia, sistem dan nilai? Mendiamkan hal ini sahaja seolah-olah bersubahat dan simbol merelakan diri kita juga menjadi mangsa,” katanya dalam satu artikel bertajuk “Liwat Semua”.