Monday, May 14, 2012

PASCA E 13 : MUDAHKAN MURTAD DI PULAU PINANG


Rayuan MAIPP berhubung kes murtad ditolak


Siti Fatimah Tan Abdullah @ Tan Ean Huang melepaskan seekor burung merpati di Tokong Kuan Yin selepas Mahkamah Rayuan Syariah Pulau Pinang hari ini menolak rayuan Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang yang mengisytiharkan beliau bukan lagi seorang Islam.


PULAU PINANG: Mahkamah Rayuan Syariah Pulau Pinang hari ini menolak rayuan Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang yang mengisytiharkan Siti Fatimah Tan Abdullah @ Tan Ean Huang, 39, sebagai bukan lagi seorang Islam pada Mei 2008.

Ketua Hakim Syarie/Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia Datuk Ibrahim Lembut membuat keputusan itu setelah mendengar hujah kedua-dua peguam bagi pihak perayu iaitu MAIPP dan juga Siti Fatimah selaku responden.

Beliau yang mengetuai korum tiga hakim, yang turut dianggotai Datuk Muhammad Asri Abdullah dan Datuk Abu Bakar Ahmad sebulat suara memutuskan bahawa responden tidak sempurna Islamnya.
"Permohonan rayuan perayu ditolak dan keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 8 Mei 2008 adalah kekal," katanya.

Pada Mei tahun lepas, hakim bicara ketika itu, Othman Ibrahim mengisytiharkan bahawa Siti Fatimah bukan lagi orang Islam dan mahkamah itu memerintahkan MAIPP untuk membatalkan pendaftaran sijil akuan memeluk Islam beliau.

Bagaimanapun, Ibrahim menolak permohonan Siti Fatimah supaya mahkamah memerintahkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memadamkan perkataan Islam pada kad pengenalannya dengan alasan bahawa mahkamah tiada bidang kuasa untuk berbuat demikian dan menasihati Siti Fatimah untuk menguruskan sendiri perkara itu dengan jabatan berkenaan.