Ketika negara mencapai kemerdekaan, kira-kira 800,000 orang bukan Melayu diterima menjadi warga negara. Masyarakat Ceylon turut mendapat kelonggaran kerakyatan.Daripada jumlah bukan Melayu yang menerima taraf kerakyatan inilah akhirnya berkembang menerusi zuriat mereka yang kini menjadi generasi kedua dan ketiga di negara ini. Perlu diingat, pada awal 1940-an wujud perselisihan di kalangan pegawai British mengenai ‘common citizenship’ yang ingin diberikan kepada orang bukan Melayu.
Setiausaha Negara bagi Wilayah Jajahan, OFG Stanley menerusi suratnya kepada Lord Louis Mountbatten bertarikh 13 Jun 1944 menganggap ‘common citizenship untuk kaum bukan Melayu sebagai tidak menghiraukan perasaan orang Melayu. Lord Louis Mountbatten adalah pegawai Britain yang menyokong konsep ‘common citenzenship’.Stanley berpendapat jumlah kaum Cina dan India yang ada ketika itu memungkinkan mereka menuntut sesuatu yang istimewa untuk mereka dalam Perlembagaan yang akan dibentuk kelak.
Pada awal kemasukan imigran Cina, mereka bertumpu di negeri-negeri Selat, namun dari 1989-1900 hampir 100,000 pendatang Cina masuk ke Negeri-Negeri Melayu Bersekutu.Selangor mengalami perubahan mendadak komposisi penduduk dan pada 1901, imigran dari China adalah 65 peratus daripada penduduk Selangor ketika itu (W.L.Blyte, 1953). Pada 1903, buruh Cina di lombong timah di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu berjumlah 186,377 orang.
Angka ini meningkat kepada 231,368 pada 1907, sementara imigran China di sektor perladangan di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pada 1909 berjumlah 5,348 orang.Kebanyakan imigrin China berasal dari Kwantung, Pulau Hainan, Fukien dan Kwangsi. Sementara itu, pada 1906 imigran India yang kebanyakannya berasal dari India Selatan (Negapatam dan Madras) mencatatkan kira-kira 95,000 orang masuk ke Tanah Melayu. Pada 1908, dicatatkan 38,801 lagi imigran India masuk ke Tanah Melayu (Chan Hon Chan, The Development of British Malaya 1896-1909, 1967).