Friday, January 9, 2015

RM 800 JUTA UNTUK BANJIR. KEMANA DIBELANJAKAN?


Kami ingin mengetahui bagaimana anggaran sebanyak RM800 juta dibuat

KUALA LUMPUR:
 Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam Malaysia (PAC) bercadang untuk memanggil Kementerian Kewangan bagi memberi penjelasan mengenai peruntukan RM800 juta kepada mangsa banjir seperti yang diumumkan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan sebelum ini.


Pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata pihaknya ingin mengetahui bagaimana anggaran sebanyak RM800 juta itu dibuat.

"Kami (PAC) bercadang untuk memanggil pihak Kementerian Kewangan selepas segala urusan membantu mangsa banjir di Pantai Timur selesai.

"Kami ingin mengetahui bagaimana anggaran sebanyak RM800 juta dibuat," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Selain Kementerian Kewangan, PAC juga kata Nur Jazlan, bercadang untuk memanggil Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mendapatkan maklumat mengenai bantuan terhadap mangsa banjir.

Katanya, PAC melihat persiapan yang dibuat MKN untuk menghadapi banjir kali ini agak tidak teratur sedangkan mereka mempunyai peruntukan yang disediakan kerajaan.

"PAC berhasrat untuk membantu MKN bagi memastikan usaha mereka berjalan lancar di masa hadapan. Kami tidak mahu kerajaan dilihat tidak cekap," katanya lagi.

Semalam, Ahmad dilaporkan berkata hampir RM800 juta sudah dibelanjakan kerajaan menerusi MKN bagi membantu mangsa banjir di negeri-negeri yang terbabit musibah itu baru-baru ini.

Peruntukan berkenaan membabitkan pembekalan makanan, operasi logistik dan pembersihan rumah-rumah mangsa.-astroawani