RM305 juta hanya untuk kertas kerja?
Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah memberikan Consortium Zenith BUCG Sdn Bhd sebanyak 9 ekar tanah di Seri Tanjung Pinang 1 (STP1) yang bernilai RM305 juta untuk membiayai kos kajian kebolehlaksanaan dan reka bentuk terperinci projek terowong dasar laut Pulau Pinang termasuk perincian Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA). Secara logiknya, bukankah kajian ini sepatutnya dilaksanakan terlebih dahulu sebelum menyerahkan projek ini kepada Consortium Zenith BUCG ini?
Mereka yang berfikir secara waras pun akan sedar bahawa kemungkinan untuk pemaju projek ini memberikan laporan kajian yang benar-benar bebas adalah sifar kerana ianya melibatkan keuntungan besar yang bakal diperolehi melalui pampasan 110 ekar tanah yang diberikan oleh kerajaan negeri serta kebenaran untuk mengutip tol selama 30 tahun.
Malah selain dakwaan bahawa hingga kini tidak ada sebarang tanda-tanda kajian kebolehlaksanaan sedang dan telah dilaksanakan di kawasan melibatkan projek terowong ini, wujud pula persoalan penting yang gagal dijawab oleh kerajaan negeri DAP Pulau Pinang iaitu bagaimana sekiranya laporan kajian kebolehlaksanaan serta EIA menunjukkan projek ini sebagai tidak berdaya maju serta mengundang malapetaka alam sekitar?