23 November 2012
SAYA pernah mengkritik Umno dalam tulisan saya sempena Perhimpunan Agung Umno yang lepas dan sebelum. Ketika itu saya tetamu parti tersebut di perhimpunan mereka. Orang Umno tidak menzahirkan kemarahan atas kritikan itu. Perasaan mereka, saya tidak tahu.
Muktamar Pas baru sahaja berlalu. Kali ini saya ingin sedikit melontarkan persoalan untuk berkongsi dengan Pas. Maaf, bagi saya Pas merupakan parti politik yang agar sukar menerima teguran. Sekalipun tidak dinafikan ada juga pimpinan Pas yang bersikap terbuka.
Pemuda Pas merupakan sayap yang sepatutnya menggambarkan 'open-mindedness', tapi menzahirkan reaksi yang agak keras setiap kali menerima kritikan. Pembaca boleh membaca reaksi timbalan ketuanya dalam memberi pandangan balas terhadap saya ketika saya melontar pandangan agar jangan tiru pendekatan Taliban dan jangan wujudkan negara mullah.
Dalam wacana di Sinar baru-baru ini mengenai ulama dan pemerintah, banyak kritikan saya tertumpu kepada Umno, tetapi pihak Pemuda Pas yang begitu melenting hanya kerana pandangan sepintas lalu agar Pas jangan nanti membentuk negara mullah.
Umno tidak sangat melantah. Saya mula risau tentang masa depan hak bersuara rakyat terhadap kerajaan jika Pas direzekikan ALLAH menguasai Putrajaya. Apakah pendekatan Ummno sebelum PRU-12 akan dihidupkan semula? Atau lebih parah, atas nama Tuhan rakyat dilarang berbicara? Harapnya tidak begitu.
Berubah
Gerakan Islam di seluruh dunia terpaksa akur bahawa mereka perlu berubah jika ingin memastikan mereka terus relevan. Bukan sahaja gerakan Islam, bahkan apa sahaja gerakan dalam dunia ini terpaksa akur bahawa cuaca baru yang sedang dihayati oleh umat manusia memerlukan satu kerangka baru dalam pemikiran dan perlaksanaan.
Politik adalah satu bidang yang membabitkan persoalan menguruskan manusia. Manusia itu terdedah kepada pengaruh tempat dan masa. Budaya dan cara berubah disebabkan persekitaran yang berbeza. Sudah tentu, iklim politik pada zaman Nabi s.a.w dan al-Khulafa al-Rasyidin tidak sama dengan zaman selepasnya.
Sudah pasti budaya dan cara politik pada zaman Umawiyyah dan ‘Abbasiyyah tidak sama dengan yang selepas itu. Demikian politik dalam era ‘nation states’ tidak sama dengan era empayar sebelum itu.
Globalisasi dan era ledakan maklumat telah mencetuskan pelbagai fenomena baru dalam kehidupan manusia.
Sesiapa yang cuba melaksanakan secara literal ataupun mengadaptasikan sepenuhnya teks politik zaman lampau ke zaman kini, maka dia seorang yang naïf dan dangkal dalam memahami tabiat politik (naturalness of politics) , sekaligus rasional dan tabiat Islam (naturalness of Islam) itu sendiri.
Retorik
Semasa awal kebangkitan Islam, gerakan Islam khususnya yang banyak bercakap tentang politik banyak melaungkan slogan-slogan yang belum diuji keberkesanannya.
Sebahagian slogan itu didokong oleh sebahagian mereka dengan penuh 'dogmatic' dan 'rhetoric'.
Padahal, sebahagian besarnya hanyalah ijtihad ataupun tafsiran yang dibuat dengan pengaruh tertentu. Sedangkan Islam lebih luas dan terbuka dibandingkan dogma dan retorik tersebut.
Kesempitan beberapa pegangan mereka khususnya apa yang dikaitkan dengan teori ‘daulah Islamiyyah’ ataupun ‘Islamic State’ telah menghalang mereka maju ke hadapan. Slogan mereka menakutkan sebahagian rakyat. Islam yang menjadi agama rahmat, diungkap dan dilaungkan secara yang menggusarkan.
Fokus terhadap menghukum rakyat dengan ‘hukuman syariah’ lebih banyak dari bicara tentang memberikan 'service' dan hak-hak rakyat yang dibela oleh syariah.
Pendekatan sebahagian slogan Islam itu seakan ingin menjadikan rakyat ‘robot patuh shariah’ bukan sebagai manusia merdeka yang taat kepada Tuhan dengan penuh pilihan.