Sedutan Forum 'Krisis Selangor: Khalid Ibrahim belot Pakatan Panelis: 1. Shazni Munir Mohd Ithnin (Eksekutif Komunikasi pejabat MB Selangor) 2. Azrul Azwar (Pegawai Tugas-Tugas Khas, Ekonomi Kewangan) dan 3. Nathaniel Tan (bekas pegawai komunikasi) Azrul Azwar yang pernah menjadi Ketua Ekonomi Bank Islam dalam hujahnya pula mengatakan beliau antara yang terlibat dalam urusan penyelesaian hutang Khalid dengan Bank Islam. "Pada 2008 selepas Pakatan Rakyat memenangi Selangor dan Khalid menjadi menteri besar, bekas bos saya meminta saya untuk menghubungi beliau (Khalid) untuk menyelesaikan isu pinjaman itu di luar mahkamah," katanya. Menurut Azrul, Bank Islam yang terlebih dahulu menawarkan penyelesaian di luar mahkamah apabila rundingan pertama Khalid di ibu pejabat bank berkenaan tidak berjaya disebabkan menteri besar Selangor itu tidak bersetuju dengan terma perjanjian. "Kerana itu kita lihat rentetan kronologi sehinggalah ke Mahkamah Tinggi," katanya. Beliau berkata penyelesaian hutang Khalid bersama Bank Islam tercapai selepas bank itu menerima tawaran dari institusi kewangan Timur Tengah yang cuba menghidupkan semula skim perjanjian jual beli (BBA). "Oleh kerana institusi kewangan itu cuba mempopularkan semula konsep BBA, maka menawarkan usul kepada Khalid dalam pembayaran jumlah hutang. "Tawaran itu dilakukan kerana institusi kewangan itu tidak mahu sekiranya Bank Islam kalah dalam mahkamah maka ia akan memberi kesan pada polisi BBA," katanya. Beliau berkata Khalid akhirnya bersetuju dengan tawaran penyelesaian terbabit dan Bank Islam juga berpuas hati kerana ia tidak merugikan perbankan itu |