Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron (gambar) menafikan dakwaan
pemerhati jenayah Mywatch yang mempersoalkan kemungkinan beliau membeli nombor
plat kenderaan menggunakan dana awam.
Idris sebaliknya berkata, beliau
masih "siuman" untuk tidak menggunakan dana awam bagi membuat pembelian
tersebut.
"Mana boleh dana awam, gilakah dia? Saya masih siuman," kata
Idris kepada The Malaysia Insider.
MyWatch sebelum itu mendakwa pejabat
Ketua Menteri Melaka menggunakan RM200,000 bagi tujuan membeli tujuh nombor
pendaftaran kenderaan MCM yang merujuk kepada (Malacca Chief Minister).
Pengerusi MyWatch, R Sanjeevan mendakwa, pihaknya diberikan dokumen
keputusan bidaan nombor berkenaan yang turut tertera nama "Idris Bin Haron" yang
mempunyai nama seperti ketua menteri Melaka itu dengan bidaan RM20,000 bagi
nombor plat MCM 11.
Antara nombor plat lain yang dibida adalah termasuk
MCM 2 hingga MCM 11.
Ketika diminta mengulas perkara itu, Idris tidak
mengiyakan mahupun menafikan pembelian berkenaan.
"Seperti terpamer oleh
JPJ," katanya merujuk kepada Jabatan Pengangkutan Jalan.
Malah, ketika
ditanya dakwaan MyWatch sama ada setiausaha sulit, setiausaha politik dan
isterinya turut membuat bidaan nombor plat kenderaan, Idris hanya
berkata:”Seperti terpamer bukan dakwaan."
Sanjeevan mendakwa, nombor
plat MCM 10 dibida pada harga RM15,510 oleh individu bernama "Fadilah Binti
Abdullah" yang kebetulan mempunyai nama yang sama seperti isteri Idris.
Manakala nombor pendaftaran MCM 2, MCM 3, MCM 4, MCM 5, dan MCM 7 dibida
oleh setiausaha politik dan setiausaha sulit Idris.
BK : SIKIT PUN TAK BOLEH PERCAYA PROVOKASI MY WATCH PRO PR