Wednesday, March 26, 2014

KOTAK HITAM OH KOTAK HITAM . MOGA ALLAH BUKAKAN JALAN




DUNIA kini sedang mengejar masa untuk mencari kotak hitam yang menjadi satu-satunya sumber yang dapat merungkai misteri bagaimana dan apakah punca yang menyebabkan pesawat Boeing 777 Penerbangan Malaysia MH370 melencong daripada laluan asalnya ke Beijing 8 Mac lalu dan berakhir terhempas di selatan Lautan Hindi.

Kotak itu yang mengikut prosedurnya hanya mampu bertahan menghantar isyarat dalam tempoh 30 hari selepas pesawat terhempas kini telah memasuki hari ke-17 di dasar lautan yang dalam jika mengambil kira logik dan kini menjadi satu fakta yang ia sudah pun terhempas di hari pertama hilang dari pandangan radar.

Apa yang terkandung di dalam kotak hitam itu adalah penting kerana di situlah terletaknya satu-satunya harapan yang boleh memberi pencerahan kepada kita tentang apa yang sebenarnya berlaku di dalam pesawat berkenaan pada saat ia membuat keputusan untuk berpatah balik sebelum memasuki ruang udara Vietnam.

Ia mengandungi rakaman segala perbualan di dalam kokpit pesawat berkenaan sepanjang perjalanannya yang malang itu. Apa yang terkandung di dalamnya tidak boleh dipadam secara manual oleh juruterbang atau pembantu juruterbang atau sesiapa sahaja yang menguasai ruang kokpit pesawat berkenaan.

Tanpa kotak hitam itu, para penyiasat tidak akan mengetahui dengan pasti apakah yang sebenarnya terjadi di dalam pesawat berkenaan kerana tidak ada yang terselamat di dalam tragedi ini untuk tampil sebagai saksi.

Oleh yang demikian, misi utama pencarian kini bukan sahaja serpihan atau bangkai pesawat ataupun mangsa yang terkorban tetapi sama pentingnya ialah untuk menemui kotak hitam pesawat dengan seberapa segera yang boleh.

Menurut para pakar, kotak itu seharusnya berkemampuan untuk terus menghantar isyarat dalam tempoh 30 hari selepas pesawat terhempas tetapi pada masa yang sama, jika bernasib baik, kotak itu mungkin mampu meneruskan fungsinya selama lebih kurang 15 hari lagi.Untuk rekod, walaupun ia dinamakan kotak hitam tetapi sebenarnya kotak itu adalah berwarna oren cerah agar mudah dikesan dan dilihat sewaktu operasi mencari dan menyelamat dijalankan.

Hakikatnya, lokasi sebenar atau tepat di manakah pesawat itu menjunam masih belum diketahui walaupun Cawangan Siasatan Kemalangan Udara UK (AAIB) dan Inmarsat, syarikat UK yang menyediakan data satelit meliputi koridor utara dan selatan membuat kesimpulan yang penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi yang terpencil.

Kini pasukan penyiasat dan pencari bukan lagi bergantung kepada satelit berteknologi tinggi untuk merakamkan gambar serpihan tetapi mereka sebaliknya memerlukan panduan dan bimbingan pakar-pakar lautan, arus dan juga kajicuaca untuk memberikan jangkaan yang tepat di titik manakah kebarangkalian yang paling hampir pesawat ini terhempas dalam lautan yang luas itu.

Mereka juga barangkali memerlukan bantuan dan nasihat pakar-pakar teknologi laut dalam untuk menyediakan apa jua teknologi yang mampu bertahan tekanan laut dalam kerana rata-rata kedalaman Lautan Hindi khususnya di selatan boleh mencecah antara tiga hingga enam ribu meter.

John Goglia, bekas anggota Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Amerika Syarikat (NTSB) berkata, pasukan mencari dan menyelamat akan mendapati yang mereka akan banyak bergantung kepada nasib.

“Mereka perlu mengejar masa sementara isyarat kotak hitam itu masih berfungsi tetapi sekali lagi mereka perlu tahu di mana hendak mencarinya,” ujar Goglia.Tentera Laut Amerika telah pun meminjamkan peralatan canggihnya yang dapat menangkap isyarat tersebut walau dalam situasi yang paling lemah sekali pun.

Alat itu boleh menangkap isyarat yang dipancarkan dari kotak hitam sejauh satu batu tetapi jika ia tidak tertimbus oleh lumpur atau pasir di dasar laut, isyaratnya boleh dikesan sejauh dua batu.

Di samping itu, Tentera Laut Diraja Australia juga dilengkapi dengan peralatan menangkap isyarat sonar yang boleh mengesan kotak hitam tersebut. Tetapi kapal itu hanya dijangka tiba di zon pencarian dalam tempoh tiga atau empat hari lagi.Tetapi bagaimana jika isyarat dari kotak hitam itu tidak dapat dikesan atau jangka hayat pancaran isyaratnya mati.

Jika ini berlaku pasukan mencari dan menyelamat tidak mempunyai pilihan melainkan harus mengimbas lantai lautan yang luas untuk dengan harapan isyarat yang dipancarkan ke dasar lautan itu akan memantulkan semula gema atau gaung yang kemudiannya boleh dianalisis untuk mengesahkan sama ada isyarat yang dipantulkan semula itu memiliki tanda-tanda yang tidak normal atau luar biasa yang boleh ditafsirkan sebagai bangkai pesawat.

Satu lagi cara ialah dengan menggunakan kapal selam tanpa manusia yang dikawal menggunakan alat kawalan jauh dari atas kapal sepertimana yang kita pernah saksikan dalam filem Titanic.

Kapal selam ini mampu menyelam selama 20 jam pada satu-satu masa, membuat imbasan di dasar lautan membuat pemetaan dan mencari serpihan pesawat menggunakan kamera kawalan jauh.

Cara inilah yang digunakan untuk mencari bangkai pesawat Air France 447, yang terhempas di dasar Lautan Atlantik di antara Brazil dan Afrika Barat pada 2009.
Selepas sebulan memeta dan mengimbas dasar lautan Atlantik yang bergunung-ganang itu akhirnya mereka mengesan satu objek yang besar yang dipercayai bangkai pesawat tersebut.

Pasukan mencari dan menyelamat menghantar kapal selam yang lebih canggih dengan kamera berresolusi tinggi untuk merakamkan gambar objek yang ditemui itu dan apa yang akhirnya mereka saksikan ialah badan pesawat termasuk roda dan sayapnya yang masih kekal.

Dalam kes kemalangan pesawat Air France itu, ia memakan kos mencari dan menyelamat sehingga AS$40 juta, empat kawasan pencarian yang luas dan hampir dua tahun sebelum badan pesawat dan kotak hitam itu akhirnya ditemui.

Dalam kes MH370, kita hanya boleh mengharapkan yang nasib akan menyebelahi kita. Tapi jika pasukan mencari dan menyelamat Air France tidak putus asa mencari dan terus mencari sehingga jumpa, kita juga boleh mengharapkan keajaiban yang sama akan berulang.

Kesimpulannya, kotak hitam itu mesti ditemui walau bertahun sekalipun masa yang diperlukan untuk mencarinya.

Ia sangat penting untuk kita dan juga seluruh dunia. Hanya kandungan di dalamnya boleh memecahkan misteri mengapa ia berakhir di dasar Lautan Hindi yang dalam itu, lapor mStar. 

BAGAIMANA INMARSAT BERFUNGSI.INI JAWAPANNYA



Satelit Britain, Inmarsat menggunakan teknik fenomena gelombang yang ditemui pada kurun ke-19 untuk menganalisis tujuh isyarat 'ping' yang dicerap satelit itu daripada pesawat MH370 untuk memastikan titik destinasi terakhirnya.


Petunjuk terbaru itulah yang membawa kepada pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak malam tadi bahawa pesawat Boeing 777 yang hilang sejak lebih dua minggu itu terhempas di selatan Lautan Hindi dengan mengorbankan semua 239 orang di dalamnnya. Isyarat 'ping itu secara automatic dipindahkan pada setiap jam daripada pesawat selepas semua system perhubungan pesawat dimatikan dan dikesan ia meneruskan penerbangan untuk beberapa jam selepas dilaporkan hilang ketika perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.


Daripada waktu isyarat mengambil masa untuk sampai ke satelit dan sudut ketinggian, Inmarsat mampu untuk memberikan dua arca, satu di utara dan satu lagi di selatan kemungkinan pesawat melaluinya.


"Saintis Inmarsat kemudian menyiasat isyarat 'ping' itu menggunakan teknik berdasarkan kesan Doppler yang menghuraikan bagaimana perubahan pada arus gelombang secara relatif kepada pemerhatian menerusi imej satelit," kata jurucakap Inmarsat hari ini.-AFP

KERAJAAN TUBUH SURUHANJAYA SIASATAN DI RAJA



Kerajaan sedang mempertimbangkan sama ada untuk menubuhkan satu Suruhanjaya DiRaja atau membentuk Jawatankuasa Parlimen dalam satu  inkuiri siasatan berhubung kehilangan Pesawat MH370 Penerbangan Malaysia.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata beliau telah diberikan dua saranan dari beberapa pihak dalam membuat inkuiri siasatan berhubung kehilangan pesawat tersebut.




"Terdapat saranan untuk menubuhkan satu inkuiri siasatan di mana ahli dari Jawatankuasa Parlimen akan dipilih untuk menyertainya manakala satu lagi gesaan adalah agar ditubuhkan sebuah Suruhanjaya DiRaja namun saya tiada kuasa untuk membuat keputusan itu," katanya kepada pemberita pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), petang tadi.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan bagaimanapun mengesahkan bahawa Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) sedang menjalankan inkuiri mereka sendiri terhadap kes tersebut.

"Malah, Kementerian Pengangkutan juga sedang memilih anggotanya untuk dibawa ke Lembaga Inkuiri yang akan ditubuhkan nanti,".

Beliau juga telah mengarahkan Kementerian Pengangkutan untuk membangkitkan perkara tersebut pada Mesyuarat Kabinet yang akan berlangsung pada Jumaat ini.

"Perkara yang berlaku ini agak mengejutkan tanpa diduga apa yang telah kita lalui selama ini akan menjadi indikasi penting bagi kita apabila bertemu dalam mesyuarat kabinet itu nanti,".

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang turut berada pada sidang media yang sama memberitahu bahawa siasatan terhadap alat simulatorpenerbangan yang diambil dari rumah juruterbang pesawat MH370, Kapten Zaharie Ahmad Shah masih lagi berjalan.

"Kita masih lagi menunggu laporan dari rakan-rakan kita dari luar negara dan selain tu juga siasatan kita masih lagi berterusan melibatkan empat aspek yang pernah kita jelaskan dahulu," kata Khalid.

Empat aspek yang masih berada dalam ruang lingkup siastan polis dalam kes kehilangan pesawat MH370 ini termasuklah rampasan, sabotaj, masalah psikologi dan masalah peribadi penumpang dan kru.

Namun, beliau enggan mendedahkan sebarang maklumat awal siasatan kerana tidak mahu ianya mengganggu siasatan.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) mengesahkan bahawa perjalanan pesawat MH370 itu telah berakhir di selatan Lautan Hindi.

Pengesahan itu dilakukan selepas menerima maklumat kedudukan terakhir pesawat itu yang didasarkan kepada maklumat daripada data satelit yang diberikan oleh syarikat Britain, INMARSAT dan Bahagian Penyiasatan Nahas Udara United Kingdom (AAIB) dan mendapati pesawat Boeing 777-200 itu telah terbang ke jalur selatan iaitu isyarat terakhir yang dikesan daripada pesawat itu.- ASTRO AWANI

TIADA SERPIHAN BELUM DIJUMPAI .




Di sebalik berita yang mendukacitakan mengenai pesawat MH370 semalam, Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) hari ini memaklumkan bahawa tiada serpihan milik pesawat berkenaan ditemui setakat ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya berkata ianya adalah berdasarkan peningkatan petunjuk sahih yang diperolehi.




"Adalah mustahil untuk meramalkan berapa lama masa siasatan yang akan diambil. Tetapi selepas 17 hari, pengumuman yang dikongsi semalam adalah realiti yang kita perlu terima” katanya di dalam sidang akhbar di KLIA hari ini.

Apabila ditanya bagaimana pihak berkuasa mengesahkan bahawa pesawat terhempas walaupun tiada serpihan ditemui, Ahmad Jauhari menjawab, mereka membuat kesimpulan tersebut dari petunjuk yang boleh dipercayai.

"Malam tadi Perdana Menteri berkata beliau telah dimaklumkan tentang petunjuk yang boleh dipercayai di mana pesawat itu berakhir.  Ia terletak jauh di kawasan terpencil.

"Selepas 17 hari, itu yang boleh kita simpulkan setakat ini" katanya lagi.

Ahmad Jauhari berkata bagaimanapun MAS akan terus menyokong kerja-kerja pihak berkuasa mencari dan menyelamat di  selatan Lautan Hindi.

"Seperti orang lain, kita sedang menunggu berita dari pihak berkuasa" katanya.

Beliau menambah bahawa MAS akan menerbangkan keluarga penumpang MH370 ke Australia jika terdapat bukti muktamad daripada pihak berkuasa.

Sebelum ini, kerajaan Australia mengumumkan bahawa pengecualian bayaran visa akan diberikan kepada keluarga pesawat MH370.

Ahmad Jauhari turut memaklumkan MAS sudah menyalurkan bantuan kewangan awal sebanyak AS5,000 dolar kepada keluarga terdekat penumpang.

"Kami tidak tahu mengapa dan kita tidak tahu bagaimana tragedi dahsyat ini berlaku"

Beliau juga mengakui bahawa tragedi itu telah sedikit sebanyak menjejaskan perniagaan syarikat penerbangan itu.

"Ya, perkara ini sememangnya menjejaskan MAS. Namun, kita lakukan yang terbaik untuk memastikan mereka yang membeli tiket diterbangkan dengan selamat dan selesa " katanya.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bahawa MH370 telah berakhir di selatan Lautan Hindi.

Beliau berkata Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara (AAIB) yang telah memberikan taklimat kepada beliau sebelum ini dan telah menemui jawapan berdasarkan data satelit iaitu pesawat berakhir di tengah-tengah Lautan Hindi, kawasan barat Perth.