Wednesday, May 29, 2013

PRU 14 : LAGI TAMPARAN KEPADA AMK PKR : JANGAN SOMBONG !!!


Aktivti rutin Pemuda Gombak pada Sabtu dan Ahad


Merujuk kepada laporan media Malaysian Insider yang bertajuk "AMK Selar Presiden PAS kerana mencerca calon PKR semasa kempen PRU13", kami menyelar sikap Ketua AMK Shamsul Iskandar Mat Akin memburuk-burukkan Presiden PAS di hadapan media.

Jika seminggu dua lalu Timbalan Presiden PKR mengkritik Presiden PAS rentetan ketidakpuasan hati prestasi PKR Selangor yang ada kena mengena dengan jawatan MB Selangor, hari ini Ketua AMKnya pula mencontohi sikap tersebut.

Kami tidak kisah untuk AMK mengkritik mana-mana pimpinan PAS, tapi kita ada saluran dalaman yang menjadi amalan kita selama ini. Jika tidak, media Umno/BN akan melaga-lagakannya.

Jika ia datang dari macai dan media Umno/BN, kami langsung tidak hiraukan namun kali ini AMK pula menjadi penyambung lidah macai Umno/BN yang menghentam Presiden PAS secara terbuka.

Sahabat Pemuda AMK!
AMK patut mencelikkan mata untuk membuat penilain terhadap sebahagian calon-calon pilihanraya dan YB-YB PKR supaya tragedi Perak tidak berulang lagi.

Inilah perkara yang ditegaskan oleh Tuan Guru Presiden PAS kepada semua rakan-rakan PR sepanjang perundingan kerusi PRU. Namun, PKR sambil lewa sahaja mengambil nasihat ini di beberapa kerusi. Presiden PAS tidak mencerca secara spesifik mana-mana calon walapun mempunyai maklumat.

Sebagai ingatan, mungkin AMK lupa, sejarah telah menyaksikan sebahagian YB-YB PKR yang diambil secara serkap jarang semata-mata untuk menghadapi pilihanraya sehingga menyebabkan kejatuhan kerajaan PR Perak pada 2008.

Bukan itu sahaja, malah sejak PRU 2008 PR dimalukan dengan insiden-insiden YB-YB PKR keluar parti seperti spt di Parlimen Bayan Baru, Parlimen Nibong Tebal, Parlimen Wangsa Maju, Parlimen Bagan Serai dan Parlimen Kulim-Bandar Baru.

Ini bukan sahaja pengkhianatan kepada rakan-rakan Pakatan Rakyat, malah pengkhianatan besar terhadap mandat rakyat.

Perkara ini disentuh dan ditegur oleh pimpinan PAS dalam pertemuan tertutup tanpa melibatkan media seperti yang dilakukan oleh Ketua AMK kali ini.

Puncanya tidak lain tidak bukan kerana PKR mengambil sebahagian calon tangkap muat dan berpotensi untuk lompat parti jika menang PRU dengan hanya diumpan dengan wang ringgit. Inilah pengkhianatan yang teramat besar iaitu mereka gagal memilih dan menapis calon yang berwibawa dan berkredibliti untuk berkhidmat sebagai wakil rakyat.

Inilah yang PAS dan DAP tidak mahu, kemenangan yang separuh jalan sebagaimana berlaku di Perak tempohhari.

Tidak cukup dengan itu, PKR bermain kayu tiga membuat rundingan dengan PSM yang tidak pernah menjadi rakan sekutu PR dan perkara ini didedahkan sendiri oleh Setiausaha Agung PSM S Arutchelvan yg juga calon PSM di Semenyih.

Ini satu lagi bentuk pengkhianatan yang tidak boleh dimaafkan oleh rakyat.

Sahabat Pemuda AMK!
AMK sepatutnya sedar dan insaf tentang kekangan serta ketandusan petugas pilihanraya mereka. Ini bukan kata-kata angkuh tetapi sekadar peringatan bersama serta realiti yang berlaku.

Buktinya, lihatlah di mana-mana sebahagian besar kawasan pilihanraya, petugas-petugas AMK dan PKR hanya pandai bercakap dan tidak cukup untuk menghadapi pilihanraya dan akhirnya ia dibantu oleh jentera Pemuda PAS. Ini suatu hakikat.

Ia dilihat oleh rakyat, yang akhirnya menyaksikan ada beberapa calon PKR ditolak di peringkat parlimen sedangkan calon PAS di peringkat DUN menang besar.

PAS berusaha melahirkan jentera dan petugas yang istiqamah,namun kami bukan macai calon-calon PKR yang hanya nampak muka sehari dua dalam keadaan tiada petugas sendiri.

Buat sahabat AMK dan ketuanya, jika ada sebarang ketidakpuasan hati, eloklah dibawa ke perbincangan dalaman PR bukan di media.

Jika di media, tambahan pula menghentam Presiden kami maka kami selaku Pemuda Pas sukar menerima kenyataan tersebut dan tidak akan berdiam diri.

Sedang kami Pemuda Pas boleh menghormati DSAI selaku Ketua PKR sekalipun ada banyak perkara yg mungkin kami tidak bersetuju, jadi molek kiranya AMK pun belajar beradab sebelum kemungkinan ada pula pimpinan yang lain mencerca DSAI di khalayak ramai disebabkan perbuatan tidak beradab itu.

Sahabat Pemuda AMK!
Ini adalah teguran dan peringatan pada semua sebagai pemuda PR yang ada akhlak dan adabnya.

Syarhan Humaizi Abdul Halim,
Ketua Pemuda PAS Gombak.

-------------------------------------------------
Disediakan oleh,

RIDHUAN HUSIN,
Pegawai Media Dewan Pemuda PAS Gombak,
Pusat Bandar Sri Gombak, 68 100, Gombak, Selangor
HP                  : +6013-222 9803

PRU 14 : PERINGATAN DEWAN ULAMAK PAS PAHANG . JANGAN HINA PRESIDEN


Ustaz Mokhtar Senik

Timbul keributan yang tidak kurang hebatnya apabila Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS dikritik secara terbuka kerana dikatakan melanggar perjanjian dengan PKR dalam isu calon PRU 13 di Kota Damansara. Apa yang menyedihkan lagi, ada di kalangan pimpinan tertinggi PAS yang mempertahankan kritikan tersebut atas nama keterbukaan.

Perlu dipertegaskan bahawa Islam memberikan hak kepada ketua sesebuah organisasi membuat keputusan sendiri tanpa memanggil mesyuarat. Jika dipanggil mesyuarat sekali pun, beliau diberi ruang untuk membelakangi keputusan mesyuarat jika perlu. Bahkan beliau tidak perlu memperjelaskan keputusan yang diambil kepada orang bawahan.

Lihat sahaja kepada sirah perjalanan hidup Nabi Muhammad s.a.w. dalam peristiwa perjanjian Hudaibiyyah. Persetujuan telah dicapai bersama sahabat-sahabat baginda untuk berperang jika mereka dihalang untuk masuk ke Mekah bagi menunaikan ibadat umrah sebagaimana cadangan Saidina Abu Bakar. Bahkan Rasulullah s.a.w mempertegaskan lagi perkara yang sama kepada Budail bin Warqa', orang tengah antara Rasulullah dan Quraisy agar memberitahu musyrikin Mekah tentang perkara tersebut.

Apa yang berlaku, akhirnya Rasulullah s.a.w. tidak melaksanakan dan membelakangi keputusan hasil perbincangan dengan para sahabat tersebut. Rasulullah s.a.w telah memeteraikan perjanjian dengan musyrikin Mekah yang menghendaki orang Islam pulang semula ke Madinah dan datang pada tahun hadapan untuk menunaikan umrah. Bahkan Rasulullah s.a.w. tidak memperjelaskan kepada para sahabat tentang keputusan yang diambil ini. Perjanjian ini bukan wahyu daripada Allah bahkan ia adalah kebijaksanaan baginda dalam membuat keputusan dan mengatur strategi.

Jelasnya, Tuan Guru Presiden mempunyai hak untuk membuat keputusan sendiri sebagaimana yang dibenarkan oleh Islam walaupun berbeza dengan keputusan mesyuarat jika dilihat di sana ada mudharat yang lebih besar boleh berlaku.

Ini tidak bermakna Islam mengamalkan sistem diktator. Sistem diktator adalah sistem yang tidak membuka ruang langsung untuk orang bawahan mengemukakan pandangan. Ada pun dalam Islam, pandangan orang bawahan adalah sangat dialu-alukan tetapi pandangan tersebut tidak boleh mengikat seorang ketua untuk membuat keputusan.

Dr Ramadhan al-Buti (Fiqh as-Sirah; 1999, m.s 237) menyebut: "Syura dalam Syariat Islam adalah sesuatu yang disyariatkan tetapi ia tidak semestinya dilaksanakan. Ini kerana kebaikan daripada Syura adalah untuk mengeluarkan pandangan-pandangan daripada orang bawahan, mencari kebaikan dan kemaslahatan yang diketahui oleh sebahagian dan tidak sebahagian yang lain atau memandang baik diri-diri mereka. Sekiranya pemimpin melihat pandangan mereka sangat baik berdasarkan dalil syarak dan hukumnya maka pemimpin itu akan melaksanakannya. Jika sebaliknya, dia boleh membuat keputusan mengikut apa yang dia kehendaki dengan syarat tidak berlawanan dengan nas Quran dan Sunnah serta ijmak orang Islam."

Tidak dapat dinafikan bahawa keputusan mesyuarat atau syura perlu dilaksanakan oleh ketua atau pun tidak adalah menjadi perbahasan dan perbezaan pandangan di kalangan Ulamak. Pun begitu, pemimpin mempunyai hak untuk memilih pandangan Ulamak yang berbeza ini. Tuan Guru Presiden ada hak untuk memilih pandangan bahawa keputusan mesyuarat tidak semestinya dilaksanakan dan ahli perlu menerima pilihan Presiden.

Kewajipan ahli ialah mempertahankan dan melaksanakan keputusan Presiden walaupun mereka tidak berpuas hati terhadap keputusan tersebut. Begitulah sikap yang diambil oleh para sahabat apabila mereka tidak berpuas hati terhadap Rasulullah s.a.w. apabila baginda memeteraikan perjanjian dengan musyrikin Mekah dan terpaksa balik semula ke Madinah. Saidina Umar datang menemui Rasulullah s.a.w menyatakan ketidak puasan hati beliau sehinggalah terpaksa ditenangkan oleh Saidina Abu Bakar. Para sahabat tidak mahu berganjak daripada tempat mereka apabila Rasulullah menyuruh mereka bertahallul untuk pulang ke Madinah. Rasulullah s.a.w terpaksa mengulangi sebanyak 3 kali tetapi para sahabat tidak mengendahkannya. Ini kerana mereka tidak puas hati dengan keputusan Rasulullah yang melanggar keputusan asal untuk berperang jika dihalang untuk masuk ke Mekah. Tetapi akhirnya para sahabat melaksanakan arahan Rasulullah apabila Rasulullah sendiri bertahallul. Mereka menerima dan melaksanakan keputusan Rasulullah walaupun mereka tidak berpuas hati.

Itulah sikap yang perlu ada dalam diri ahli pendokong gerakan Islam khususnya Parti Islam seMalaysia (PAS). Walaupun mungkin kita tidak berpuas hati dengan keputusan Presiden tetapi keputusan tersebut tetap wajib dilaksanakan. Mereka boleh meluahkan ketidakpuasan hati itu mengikut saluran yang betul tetapi akhirnya mereka perlu akur dengan keputusan Tuan Guru Presiden.

Adalah amat malang apabila sebahagian ahli dan pimpinan PAS tidak dapat menerima keputusan yang diambil oleh Tuan Guru Presiden dan tidak mahu melaksanakannya. Apa yang lebih mendukacitakan lagi apabila ada di kalangan pimpinan PAS yang mempertahankan kritikan orang luar yang menyalahkan Presiden dalam isu calon di Kota Damansara walaupun Tuan Guru Presiden telah menerangkannya. Pimpinan yang seumpama ini tidak berhak berada dalam saf kepimpinan bersama dengan Tuan Guru Presiden.

Ustaz Mokhtar Senik
Ajk Dewan Ulamak Pas Pusat
Ketua Dewan Ulamak Pas Pahang